KUALA LUMPUR – Plaza Tol dan persimpangan bertingkat Shah Alam kini dibuka semula secara berperingkat kepada semua pelanggan lebuh rayanya, kata PLUS.
Berikutan paras air banjir yang telah surut, PLUS segera menjalankan kerja-kerja pembersihan, pengalihan kenderaan yang terkandas, pemeriksaan menyeluruh dan kerja pembaikan ke atas aset lebuh raya serta peralatan tol yang rosak disebabkan oleh air banjir.
”Laluan yang terjejas kini telah dibuka secara berperingkat. Namun, kami menasihati para pelanggan untuk tetap berhati-hati dan mematuhi papan tanda amaran kerana masih ada di beberapa bahagian jalan yang masih ditakungi air banjir”, nasihat Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad.
Dalam kenyataannya hari ini, PLUS bersyukur dan mengucapkan terima kasih di atas sokongan semua pihak termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, serta semua agensi-agensi lain dan orang perseorangan yang terlibat dalam misi menyelamat dan memindahkan pelanggan lebuh raya yang terkandas, terutamanya mereka yang telah memberikan kerjasama demi memastikan operasi menyelamat berjalan lancar.
Kesabaran mereka telah membantu memastikan keselamatan serta keselesaan semua kekal menjadi keutamaan PLUS.
PLUS juga menasihati para pelanggan lebuh raya untuk menyemak status banjir semasa dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan serta mendapatkan maklumat trafik terkini di laman web PLUS, www.plus.com.my dan platfom media sosial termasuk Facebook PLUS Malaysia dan Twitter PLUSTrafik serta PLUS App. – MalaysiaGazette