Home Sukan Projek pemain naturalisasi punca kegagalan Harimau Malaya

Projek pemain naturalisasi punca kegagalan Harimau Malaya

Safee Sali.

KUALA LUMPUR – Bekas penyerang skuad kebangsaan, Safee Sali menyifatkan projek pemain naturalisasi menjadi antara faktor utama kegagalan skuad kebangsaan dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020.

Menerusi laman media sosial Instagram miliknya, Safee menggesa agar post mortem (bedah siasat) dijalankan oleh Malaysia bagi mengenal pasti kelemahan yang ada.
Penyerang PJ City itu turut mengucapkan tahniah kepada Indonesia kerana berjaya melangkah ke separuh akhir.

“Tahniah Garuda. Kita harus mengakui kekalahan. Harimau Malaya perlu membuat post mortem untuk mengenal pasti masalah yang ada.

“Bagi saya, sejak projek pemain naturalisasi diperkenalkan, ini menjadi punca terbesar pasukan negara,” tulisnya.

Malam tadi, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe sepatutnya wajib menewaskan Indonesia jika mahu melangkah ke peringkat separuh akhir.

Namun bencana berlaku apabila Malaysia dibelasah dengan keputusan 4-1.

Selepas perlawanan, Cheng Hoe berkata, kekalahan kepada Indonesia adalah sukar untuk diterima dan berpendapat skuad Garuda mempunyai kelebihan dari segipada persediaan sebelum menyertai saingan Piala AFF berbanding pasukan negara.

“Jika anda melihat kepada Indonesia dan Vietnam, mereka mempunyai persiapan yang bagus, menjalani kem latihan yang sempurna dan inilah yang mereka lakukan.

“Malangnya, kami tidak mempunyai persiapan yang baik, dan kami memerlukan masa bagi mempersiapkan pasukan, merancang strategi atau perancangan kempen seperti ini,” kata Cheng Hoe.

Indonesia dan Vietnam menjadi pasukan daripada kumpulan B yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir dan akan menghadapi Thailand serta Singapura dari kumpulan A.

Indonesia akan turun menentang Singapura manakala Thailand akan berdepan tugas sukar apa ada menghadapi Vietnam.

Perlawanan pertama peringkat separuh akhir akan berlangsung pada 22 dan 23 Disember ini. – MalaysiaGazette