KUALA LUMPUR – Dek kerana terkesan dengan berita kematian 23 pelajar dan pengajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, ribuan orang ramai hadir memberi penghormatan terakhir di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Batu Caves.
MalaysiaGazette yang menemui pengunjung di sini mendapati orang ramai yang hadir bukan sahaja waris terdekat malahan orang awam turut mahu bersama-sama berkongsi kesedihan.
Antara yang hadir termasuklah artis Heliza Helmi.
Dia yang baru selesai membuat siaran langsung di sebuah stesen televisyen segera hadir ke sini.
Heliza memberitahu dia hadir ke sini setelah mendapat maklumat dari media sosial facebook.
“Sebenarnya saya teringin nak berjumpa dengan keluarga. Saya mahu kata-kata semangat dari mereka.
“Kerana mereka mendapat hadiah yang begitu istimewa. Yang Allah beri dan ambil balik. Pastinya ada sesuatu yang hebat mengenai keluarga ini, yang saya ingin belajar.
“Sebagai masyarakat kita harus mendoakan dan menjaga tutur kata agar tidak mengguris emosi keluarga mereka,” jelas Heliza.
Sementara itu Azli Nasimuddin, 33, sanggup datang dari Shah Alam, Selangor untuk melihat sendiri majlis pengkebumian ini.
Dia memberitahu kehadirannya adalah untuk melihat pengkebumian insan yang dipilih Allah untuk menerima syahid.
“Saya mendoakan agar ke semua yang terkorban di lindungi Allah.
“Saya juga berdoa agar keluarga mereka tabah,”ujar Azli yang menunggu sehingga selesai semua pengkebumian.
Manakala bagi Fazlin Abdul Hamid, 25, dia yang tinggal berdekatan kawasan ini sudah tidak sabar-sabar untuk turut serta di tanah perkuburan ketika dia masih di pejabat lagi.
“Bila saya dapat tahu jenazah dikebumikan di sini, selepas kerja saya terus ke sini,”ujarnya yang masih memakai uniform dan pass kerja ketika ditemui.
Dia berpesan kepada semua keluarga mangsa untuk tabah dengan ujian ini dan berharap mereka kuat. – MalaysiaGazette