Home Nasional Feri P. Pinang percuma buat rakyat Malaysia sepanjang tahun depan

Feri P. Pinang percuma buat rakyat Malaysia sepanjang tahun depan

Zairil (tiga dari kiri) meninjau perkhidmatan feri Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Kerajaan  Pulau Pinang memperuntukan RM936,000 bagi menyambung pembiayaan tambang feri sepanjang tahun 2022 sekali gus membolehkan seluruh rakyat negara ini menggunakan perkhidmatan awam itu secara percuma.

Exco Insfrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, dengan pembiayaan tambang feri itu diharapkan dapat membantu mengurangkan bebanan kos perjalanan rakyat tempatan yang menggunakan pengangkutan awam tersebut.

Kata beliau, sejak 1 Julai lalu, kerajaan negeri telah melancarkan program feri percuma dan bersetuju untuk menyambung pembiayaan tambang pengangkutan awam itu mulai 1 Januari sehingga 31 Disember 2022.

“Semua rakyat Malaysia layak menikmati perkhidmatan itu secara percuma dengan membawa MyKad serta mengimbas peranti MyKad yang disediakan oleh pihak Penang Port Sdn Bhd (PPSB) untuk mendapatkan tiket sebelum menaiki feri.

“Pembiayaan tambang feri kepada penumpang pejalan kaki ini melibatkan peruntukan sebanyak RM78,000 sebulan dengan jumlah tiket sebanyak 65,000 tiket sebulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, dengan pembiayaan tambang oleh kerajaan negeri, penumpang pejalan kaki warga tempatan dapat menikmati perkhidmatan feri secara percuma setiap hari dan masa.

“Digandingkan pula dengan program Pas Mutiara bagi perkhidmatan bas Rapid Penang, ia sekali gus menjadikan Pulau Pinang sebagai satu-satunya negeri dengan keseluruhan jaringan pengangkutan awam sama ada melalui air atau darat adalah percuma,” kata Zairil. – MalaysiaGazette