SHAH ALAM – Ibu mana yang tidak sayangkan anak.
Selama tiga hari dua malam terperangkap di kediamannya di pangsapuri Damai, Taman Sri Muda di sini akibat banjir baru-baru ini menyebabkan naluri ibu diselubungi kebimbangan.
Itu pengalaman ibu yang mahu dikenali sebagai Norfazira, 38, yang tidak dapat dilupakan namun kini bersyukur apabila berjaya keluar hari ini.
Menurutnya, bekalan makanannya telah terputus sejak Sabtu lalu kerana dia berkongsi makanan dengan mangsa-mangsa banjir lain daripada taman perumahan yang dipindahkan ke perumahan bertingkatnya.
“Sebenarnya saya bersyukur dapat keluar sebab air sudah mula tiada di rumah. Saya ada anak berumur enam bulan sebab itu saya usaha juga untuk keluar cari makanan sebab sudah terputus sebab hari Sabtu lalu bomba hantar jiran-jiran rumah teres ke sini untuk penempatan sementara, jadi kami masak sendiri guna keperluan kami untuk makan bersama-sama.
“Macam mana banyak bekalan sendiri yang ada tapi bila makan ia akan habis juga,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di sini hari ini.
Justeru itu, Norfazira merayu pihak berkuasa menghantar makanan khususnya bekalan susu kepada mangsa banjir yang ada anak kecil sepertinya.
Sementara itu, Nordiana Zairi, 36, yang mempunyai dua anak kecil berusia dua dan tiga tahun berkata, tidak ada apa yang berlegar di mindanya kecuali keselamatan dan anak-anaknya.
Beliau dan suami bimbang kedua-dua cahaya mata itu akan kelaparan selepas terpaksa berpindah ke Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Muda dari kediamannya.
“Rumah saya di taman dua tingkat, masa kami keluar paras pinggang sahaja. Hari Sabtu masa kejadian kami teruskan duduk di rumah sebab ingat banjir tidak akan seteruk ini, tidak akan naik sampai ke tingkat atas rumah.
“Syukur Allah tolong juga bagi tempat,” katanya.
Nordiana menambah, selepas penat berpindah beliau sekeluarga pula perlu berusaha membersihkan rumah selepas banjir surut kelak.
Namun ia berbeza pula dengan Aidawati Mohd Fahmi, 49, pula nekad terus berada di tingkat atas kediamannya walaupun banjir masih belum surut.
Ini kerana beliau perlu menjaga adik iparnya yang lumpuh.
Selain itu, ibu mentua Aidawati yang berumur lebih 70 tahun juga enggan berpindah kerana sukar bergerak.
“Kami ada enam orang di rumah ini, ada adik ipar lumpuh tidak boleh bawa keluar badannya tidak kuat. Kita tidak sanggup tinggalkan mereka. Kami dalam rumah ada enam orang. Makanan tidak putus, alhamdulillah.
“Adik ipar umur 49 tahun pula lumpuh tidak bergerak akibat kemalangan beberapa tahun yang lalu. Kalau bergerak kena dengan kerusi roda.
“Adik ipar sendiri cakap kalau kami nak keluar boleh tinggalkan dia sendiri mati di sini sebab nak angkat dia memang tidak kuat badannya sakit kalau digerakkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette