Home Nasional Banjir melanda ibarat mimpi ngeri – Penduduk Kampung RTB

Banjir melanda ibarat mimpi ngeri – Penduduk Kampung RTB

Beberapa individu membantu menolak sebuah kereta keluar dari kawasan banjir di Kampung RTB, Banting hari ini.

KUALA LANGAT – Ibarat mimpi ngeri.

Itu gambaran penduduk Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB), Banting dekat sini selepas kediaman mereka dinaiki air sehingga paras bumbung.

Shahrizaini Karimun, 37, berkata, ini merupakan banjir terburuk yang pernah melanda kawasan berkenaan sejak 11 tahun lalu.

Menurutnya, pada tahun 2011, kawasan itu pernah dilanda banjir namun tidak seteruk  pada Sabtu lalu.

Shahrizaini Karimun menunjukkan gambar rumah penduduk Kampung RTB yang hanya tinggal bumbung selepas ditenggelami banjir sejak Sabtu lalu.

“Pada Sabtu malam, keadaan mula jadi huru-hara apabila air semakin naik, lama kelamaan sehingga ke paras pinggang dan ketika itu, kami kerahkan semua kudrat yang ada untuk selamatkan orang-orang kampung berpindah ke Sekolah Kebangsaan (SK) RTB.

“Situasi semakin buruk apabila sekitar pukul 2 pagi hari Ahad, talian telekomunikasi sudah tiada termasuk elektrik, jadi kerja-kerja menyelamat semakin sukar ditambah pula air sudah naik mendadak.

“Kekangan peralatan seperti bot juga menyukarkan kami bawa pindah orang-orang kampung sehingga terpaksa menggunakan tong besar berwarna hitam untuk mengangkut mereka,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Kampung RTB, Banting dekat sini hari ini.

Keadaan Masjid Ar Rahmah di Kampung RTB yang masih digenangi air banjir.

Tambah Shahrizaini, seluruh penduduk kampung ibarat hilang arah berikutan terputus hubungan dengan ‘dunia luar’ hampir 48 jam tanpa bantuan.

Jelasnya, sekitar tengah hari ini baru kira-kira 500 penduduk mula di bawa berpindah ke Masjid KLIA selepas dua hari bermalam di sekolah.

“Ketika huru-hara itu lah penduduk sudah terputus bekalan makanan, hari ini baru mereka termasuk keluarga saya dibawa ke Masjid KLIA dan bantuan-bantuan lain tiba seperti makanan, barangan asas serta selimut.

“Tak dapat digambarkan dengan kata-kata dengan apa yang berlaku. Saya sendiri naik bot lihat kawasan sekeliling dan tergamam kerana air banjir ini masih lagi di paras dada,” ujarnya yang menetap di situ sejak lahir.

Berkongsi pengalaman sama, Ira Sharkawi, 32, tidak dapat menahan sebak ketika terkenang rumah sewanya yang ditenggelami banjir.

Ujar wanita berasal dari Kuching, Sarawak itu, ketika kejadian, dia sedang tidur sementara menunggu shif malam untuk bekerja.

Ira Sharkawi

“Saya tidur sementara tunggu untuk masuk kerja, ketika sedar hari sudah lewat petang dan air banjir sudah separas lutut dan terus jadi panik dan ambil dua ekor kucing peliharaan sambil hubungi rakan untuk minta tolong.

“Sampaikan motosikal saya sendiri tidak sempat dialihkan termasuk barang-barang yang lain,” katanya.

Tambah Ira, apa yang lebih menyedihkan,  dia tidak mempunyai keluarga mahu pun saudara-mara di Semenanjung Malaysia.

Ujarnya lagi, dia hanya bergantung harap daripada beberapa rakan yang bermurah hati untuk menumpangkannya buat sementara.

“Setiap kali teringat kejadian pada Sabtu lalu, memang terus rasa sebak kerana tiada apa boleh diselamatkan tambahan pula tiada talian telefon untuk saya maklumkan kepada keluarga.

“Tapi sekarang mereka pun sudah lega kerana saya maklumkan kepada mereka keadaan saya di sini okay dan selamat,” katanya yang sudah dua tahun menyewa di Kampung RTB.

Penduduk Kampung RTB membantu memberi makanan kepada kucing yang terkandas di atas bumbung kedai makan akibat banjir yang berlaku sejak Sabtu lalu.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati hampir keseluruhan rumah yang dapat dilihat dari tepi jalan hanya tinggal bumbung  berikutan banjir yang masih tidak surut walaupun sudah memasuki hari ketiga.

Masjid Ar Rahmah yang terletak berhampiran jalan utama juga tenggelam bersama puluhan kereta lain yang diparkir di kawasan berkenaan.

Kebanyakan motosikal juga diletakkan di atas jejantas bagi mengelak ditenggelami banjir.

Keadaan di jalan masuk ke Kampung RTB yang dipenuhi deretan kenderaan dan motosikal yang diparkir bagi mengelakkan banjir.

Terdahulu, banjir yang berlaku di Kampung RTB turut tular di media sosial apabila rata-rata netizen merayu bantuan luar ekoran sudah terputus bekalan makanan serta mengalami kesukaran untuk menyelamatkan diri. – MalaysiaGazette