Home Nasional AIM salur bantuan segera RM100,000 bantu mangsa banjir

AIM salur bantuan segera RM100,000 bantu mangsa banjir

AIM
Haji Shabudin Yahaya, Pengerusi AIM (tengah), bersama Shamir Aziz, Pengarah Urusan (Kanan) bertanyakan khabar mangsa banjir, Juhaida Kamaruddin di pusat penempatan sementara Banjir di Dewan Seberguna MBSJ.
KUALA LUMPUR – Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mengumumkan bantuan khas sebanyak  RM100,000 kepada mangsa banjir khususnya kepada Sahabat AIM yang terkesan akibat fenomena Monsun Timur Laut yang melanda beberapa negeri sejak Sabtu lalu.

Bantuan yang diberi dalam bentuk barangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak,  makanan dalam tin dan lain-lain itu, diumumkan oleh Pengerusinya, Datuk Shabudin Yahaya di sini, semalam.

Selain bantuan RM100,000 berkenaan yang akan disalurkan menerusi kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, AIM juga menyediakan tabung khas untuk Sahabat yang dilanda musibah.

Menerusi Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat (TKKS) berkenaan, Sahabat boleh membuat tuntutan mengikut kadar ditetapkan jika terkesan dalam kejadian banjir ataupun kemusnahan kediaman.

AIM dalam satu kenyataan berkata, sehingga semalam, seramai 9,206 Sahabat AIM di Selangor, Pahang, Kelantan, Sabah, Terangganu, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Johor terkesan akibat banjir besar berikutan hujan turun tanpa henti sejak Jumaat lalu.

Sebahagian daripada mereka masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan tidak dapat menjalankan aktiviti ekonomi seperti biasa.

Dalam pada itu Shabudin serta beberapa pengurusan kanan AIM sempat meninjau keadaan Sahabat di PPS Tanjung Karang dan beberapa lokasi lain sebagai tanda prihatin dan melihat keperluan segera yang boleh disalurkan.

Katanya, AIM juga akan menggerakkan pasukan petugas di setiap cawangan untuk membantu Sahabat-Sahabat di seluruh negara terutamanya dalam usaha membersih  kediaman dan membantu memulihkan perniagaan yang terjejas.

Beliau turut menasihati Sahabat supaya patuh kepada SOP dan arahan pihak kerajaan bagi mengelakkan penularan wabak Covid 19. – MalaysiaGazette