Home Nasional Kedah sumbang RM200,000 kepada Selangor

Kedah sumbang RM200,000 kepada Selangor

Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR – Kedah akan menghulurkan sumbangan khas sebanyak RM200,000 kepada Kerajaan Selangor bagi membantu rakyat negeri tersebut yang ditimpa musibah banjir.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri amat bersimpati dan berdukacita dengan musibah banjir besar yang melanda penduduk di Selangor dan beberapa negeri lain.

“Sebagai tanda kebersamaan kami rakyat Kedah dengan seluruh mangsa banjir di Selangor, kerajaan Kedah akan menghulurkan sumbangan khas kepada kerajaan Selangor sebanyak RM200,000.

“Sumbangan ini akan diuruskan oleh Pejabat Pegawai Kewangan Negeri seberapa segera dan diharapkan bantuan kecil ini dapat membantu rakyat dan kerajaan Selangor,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Selain sumbangan kerajaan negeri, Muhammad Sanusi berkata, pihak Khidmat Malaysia Cawangan Kedah juga sedang menggerakkan kutipan sumbangan untuk dibawa bersama aset serta petugas bagi membantu penduduk di Selangor.

“Semoga seluruh bantuan yang sedang diusahakan akan membantu mereka menghadapi kesukaran pasca banjir,” kata beliau. – MalaysiaGazette