Home Nasional Pasca banjir di Taman Sri Muda ibarat babak dalam filem

Pasca banjir di Taman Sri Muda ibarat babak dalam filem

SHAH ALAM – Pasca banjir di sekitar Persiaran Budiman, Taman Sri Muda ibarat babak-babak dalam filem yang sering ditonton di televisyen.

Kebanyakan rumah di kawasan taman perumahan di sini masih digenangi air sehingga ke jalan-jalan utama.

Puluhan kenderaan ditinggalkan pemiliknya di simpang dan tengah jalan, berkemungkinan ketika menyelamatkan diri sewaktu banjir melanda kawasan tersebut pada Sabtu lalu.

Kenderaan ditinggalkan di tengah dan bahu jalan berikutan banjir yang berlaku di Taman Sri Muda.

Longgokan sampah sarap seperti dahan kayu, plastik, botol serta sisa makanan juga dilihat bertaburan di sepanjang jalan masuk menuju ke Taman Sri Muda.

Beberapa penduduk kelihatan berjalan sambil memegang beg pakaian masing-masing dengan wajah hiba.

Turut kelihatan individu yang mengusung sangkar kucing kesayangan untuk dibawa keluar dari kawasan banjir.

Seorang lelaki mengangkat sangkar kucing melintasi longgokan sampah di persimpangan Persiaran Budiman, Shah Alam.

Itulah gambaran apa yang berlaku di Taman Sri Muda yang kini sudah memasuki hari keempat selepas episod duka melanda pada Sabtu lalu.

Jika dilihat sendiri, cukup menyayat hati dan seperti tidak percaya musibah sedahsyat ini berlaku di negara tercinta. – MalaysiaGazette