KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengumumkan penangguhan perhimpunan agung kali kedua parti itu pada 23 Januari depan, disebabkan banjir.
Setiausaha Agungnya, Borhan Ahmad Zakaria berkata, penangguhan itu dibuat berikutan ramai perwakilan, pemimpin, ahli dan warga Putra terlibat dalam bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri dan Lembah Klang.
“Mengambil maklum dan tindakan segera apabila berlakunya bencana banjir besar di beberapa negeri termasuk di Lembah Klang, ramai kalangan ahli dan warga parti terlibat secara langsung dengan musibah ini.
“Sebahagian besar perwakilan tidak dapat menghadirkan diri ke Perhimpunan Agung Tahunan Putra kali ke-2 yang dijadualkan pada 24, 25 dan 26 Disember ini.
“Setelah memperhalusi dan menimbangkan kejadian bencana itu, dengan ini perhimpunan agung ditunda pada tarikh baharu, termasuk perasmian dan persidangan tahunan sayap yang sepatutnya diadakan Jumaat ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurut Borhan, tarikh baru perasmian dan persidangan tahunan sayap-sayap Putra kebangsaan akan berlangsung pada 21 dan 22 Januari 2022, manakala perhimpunan agung pada 23 Januari 2022.
Kata beliau, perhimpunan agung itu akan dihadiri 95 bahagian yang telah pun mengadakan persidangan tahunan di bahagian masing masing dan selesai memilih jawatankuasa baru sebagaimana termaktub dalam perlembagaan parti oleh perwakilan yang memilih bagi sesi 2021-2024.
Perwakilan bahagian yang bersidang telah memilih Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian I, Naib Ketua Bahagian II dan 10 Ahli Jawatankuasa, Ketua Sayap, Setiausaha, Ketua Penerangan, Bendahari dan lima AJK lantikan yang dipilih Ketua Bahagian.
“Jumlah keseluruhan perwakilan yang akan hadir pada perhimpunan kali ini seramai 950 orang seperti termaktub dalam perlembagaan Putra iaitu 10 dari kalangan Exco Bahagian yang secara automatik layak.
“Jumlah Ahli Dewan Tertinggi (ADT) pula 34 orang dengan keseluruhan dijangka hadir kira-kira 1,000 orang.
“Tema Perhimpunan Agung Tahunan Putra kali ke-2 adalah Perjuangan Bersih dan Bermoral yang merupakan kelangsungan falsafah perjuangan Putra, di mana pemimpin bersih dan berakhlak mulia menjamin rakyat sejahtera serta negara menjadi berkat,” katanya. – MalaysiaGazette