SHAH ALAM – Situasi dan ciri banjir yang berbeza antara sesebuah tempat, menyebabkan pengurusan bencana juga berlainan, kata Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara Datuk Rodzi Md Saad.
Beliau berkata sesuatu pengurusan itu perlu diteliti dan dipertimbangkan oleh komander operasi bencana terlebih dahulu sebelum melaksanakan sebarang tindakan.
“Kadang-kadang kita tidak tahu keadaan (situasi banjir) di sesuatu tempat. Ia berbeza-beza situasi dan kita cenderung buat andaian am bagi semua tempat. Itu tak betul keadaan seumpama itu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau situasi banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini.
“Cuma pada peringkat awal disebabkan hujan yang terlalu banyak, secara tiba tiba. Kita tidak menjangka paras air akan naik sebegini tinggi jadi kita terperangkap dalam banyak keadaan.
“Namun agensi kerajaan semua telah memainkan peranan, berusaha bersungguh-sungguh walaupun keluarga masing-masing ada yang kena banjir, tetapi semua petugas kerajaan cukup komited untuk memberi khidmat yang terbaik,” katanya.