Home Nasional Hasil jualan jam tangan mewah RM1.3 juta lesap sekelip mata

Hasil jualan jam tangan mewah RM1.3 juta lesap sekelip mata

Penjawat awam antara lapan individu dicekup polis kerana terlibat dalam samun bersenjata dan melarikan wang RM1.13 juta hasil jualan jam tangan mewah dalam kejadian 14 Disember lalu.

KUALA LUMPUR – Dua lelaki berputih mata apabila hasil hasil jualan jam tangan mewah berjumlah RM1.13 juta disamun empat suspek yang menyamar sebagai polis di Jalan Chan Sow Lin, Cheras pada 14 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, kejadian berlaku selepas mangsa dan rakannya selesai melaksanakan transaksi penjualan jam tangan mewah milik majikan mereka dengan seorang lelaki.

“Semasa kedua-dua mangsa menuju ke tempat letak kenderaan yang terletak di sebuah bangunan di lokasi kejadian untuk mengira hasil kutipan wang yang telah diterima daripada pembelinya, kenderaan mereka telah tiba-tiba ditahan oleh sebuah kereta yang dinaiki suspek dua lelaki memakai vest berlambang serta bertulisan ‘Polis’ dan juga dua lelaki bermotosikal.

“Suspek yang menaiki motosikal telah memperkenalkan diri sebagai polis lalu mengeluarkan sepucuk pistol dan bertindak menggeledah kereta serta merampas wang tunai berjumlah RM1.13 juta,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Tambah beliau, selepas merampas hasil jualan itu, suspek mengarahkan mangsa mengikuti mereka ke Balai Polis Sungai Besi untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, menurut Muhammad Idzam, suspek tidak-tiba menghilang diri ketika mangsa yang mengekori mereka dalam perjalanan ke balai polis.

“Ekoran kejadian itu dan bertindak atas maklumat dari mangsa insiden itu, polis telah berjaya menjejaki dan memberkas lapan individu termasuk empat penjawat awam berusia lingkungan 22 hingga 43 tahun di sekitar Kuala Lumpur yang disyaki terlibat dalam samun bersenjata itu untuk membantu siasatan.

“Kita juga menahan pengadu serta rakannya yang bekerja sebagai pemandu bagi membantu siasatan untuk melihat sama ada wujud unsur komplot pihak dalaman dalam kejadian samun bersenjata memabitkan wang lebih RM1 juta,” ujarnya sambil menambah serbuan dan penahanan suspek dilakukan pada 15 hingga 17 Disember lalu di sekitar Cheras.

Muhammad Idzam berkata, pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada rampasan sepucuk pistol, dua buah motosikal, sebuah kereta Honda Civic, wang tunai RM716,800 dan barangan yang dibeli suspek berjumlah RM223,460 yang disyaki menggunakan wang yang samun itu.

Kata beliau, salah seorang daripada suspek didapati menggunakan RM90,970 wang yang disamun untuk menjelaskan baki bayaran kereta Honda Civic.

Ujarnya, semakan rekod lampau mendapati hanya seorang suspek memiliki tiga rekod jenayah berkaitan samun dan dadah.

“Kesemua mereka dilibatkan dalam ujian saringan air kencing dan hasilnya kesemua suspek adalah negatif dadah,” tambah beliau.

Menurut Muhammad Idzam, kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dengan bersenjata. – MalaysiaGazette