SHAH ALAM – Talian kecemasan MERS 999 sepatutnya berfungsi pada setiap masa terutamanya ketika berlakunya bencana, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Katanya, ini merupakan pertama kali beliau mendengar talian berkenaan tidak dapat dihubungi oleh mangsa banjir yang memerlukan bantuan kecemasan baru-baru ini.
“Talian ini sepatutnya berfungsi setiap jam. Ini pertama kali saya dengar ia tidak dapat dihubungi saya akan dapatkan maklumat secara terperinci,” katanya ketika sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Taman Sri Muda hari ini.
Dalam pada itu, Acryl Sani berkata, mangsa-mangsa banjir yang berada di Pusat Penempatan Sementara (PPS) boleh membuat laporan polis di kawasan mereka ditempatkan untuk memudahkan urusan.
“Saya telah arahkan semua Ketua Polis Daerah untuk mangsa buat laporan di PPS secara manual di masa yang sama terdapat mangsa banjir tidak dapat keluar atas sebab tertentu beberapa aset PDRM (Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan untuk mencari mereka,” tambahnya.
Dalam pada itu, Acryl Sani berkata, seramai 1081 pegawai anggota polis yang terkesan dengan banjir yang berlaku pada minggu lalu. – MalaysiaGazette