Home Seni Hidup HRD Corp bantu mangsa banjir Lembah Klang

HRD Corp bantu mangsa banjir Lembah Klang

HRD Corp tampil membantu mangsa banjir di sekitar Lembah Kelang dan Kuantan sejak tiga hari ini.

KUALA LUMPUR – Prihatin dan peduli antara faktor Human Resources Development Corporation (HRD Corp) tampil menyalurkan bantuan selain turun padang membantu mangsa-mangsa banjir di Lembah Kelang.

Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Ariff Farhan Doss berkata, pihaknya mengkordinasi pasukan seramai 150 orang dalam kalangan kakitangan HRD Corpsejak sejak Sabtu lepas.

“Kita tidak fikir panjang malah rata-rata warga HRD Corp sudah awal-awal tampil ke depan mahu menyumbang, membantu apabila melihat sendiri apa yang sedang berlaku kepada mangsa-mangsa banjir ini lagi-lagi banjir seperti ini jarang sekali berlaku.

“Bayangkan berpuluh-puluh atau ratus ribu rakyat kita terkandas, terperangkap di kediaman dan premis mereka selama beberapa hari tanpa makanan, lebih teruk apabila air mula naik ada yang naik sehingga ke bumbung, duduk dalam gelap, cuaca buruk hujan tidak berhenti, tiada makanan dan macam-macam lagi.

“Kita terpanggil untuk sama-sama turun padang, dalam tempoh sekejap sahaja seramai 150 orang sudah bersedia, kita dapat sumbangan peribadi dari Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, Lembaga Pengarah HRD Corp dan pengurusan tertinggi.

“Kita semua berganding bahu, tampil sumbang makanan untuk makan tengah hari dan malam, juga memberi sumbangan barangan keperluan, peralatan rumah, kelengakapan dapur, ubat-ubatan dan lain-lain.

“Selain itu sejak air mula reda, kita tampil membersihkan rumah-rumah mangsa, usaha ini sedang berterusan ketika ini. Kita akan bantu sehingga semuanya kembali pulih, selagi yang kita boleh kita akan lakukan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

HRD Corp tampil membantu mangsa banjir di sekitar Lembah Kelang dan Kuantan sejak tiga hari ini.

Kata Ariff Farhan lagi, setakat ini HRD Corp telah menyumbang kepada mangsa banjir  di Sungai Buloh, Klang, Hulu Langat, Dengkil, Puchong, Shah Alam dan Kuantan.

“Kita telah beri 3,000 buah rumah peralatan mencuci rumah, botol air dan barangan lain sejak beberapa hari ini. Kita akan cuba bantu seramai yang boleh.

“Bak kata pepatah, berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Lagi ramai yang tampil membantu lagi cepat bebanan yang sedang dipikul oleh mangsa-mangsa ketika ini,” katanya.

Menurutnya, HRD Corp merupakan sebahagian dari keluarga Malaysia yang besar dan ini adalah antara waktu-waktu paling sukar, kita bantu selagi yang boleh. Usaha ini akan berterusan sehingga banjir pulih.

HRD Corp tampil membantu mangsa banjir di sekitar Lembah Kelang dan Kuantan sejak tiga hari ini.

Pihaknya juga  prihatin terutamanya mereka yang dari golongan rentan seperti OKU, warga emas and ibu tunggal yang memerlukan bantuan khusus.- MalaysiaGazette