Home Dunia MH17: Pendakwa tuntut hukuman penjara seumur hidup kepada pesalah

MH17: Pendakwa tuntut hukuman penjara seumur hidup kepada pesalah

Kelihatan ketiga-tiga pakar penyiasat dari Malaysia memulakan penyiasatan di lokasi kejadian trajedi MH17 trajedi di Ukraine ketika tinjauan di Grovova, Ukraine pada 22 Julai 2014. Foto : NOOR ASREKUZAIREY SALIM.

AMSTERDAM – Pendakwa raya Belanda semalam menuntut hukuman penjara seumur hidup ke atas tiga warga Rusia dan seorang warga Ukraine yang didakwa dalang utama insiden menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 di Ukraine pada 2014.

Menurutnya, defendan yang semuanya bebas, membantu membekalkan sistem peluru berpandu yang digunakan olehm puak pemisah yang disokong Rusia menembak roket ke arah pesawat Malaysia berkenaan.

Dalam kejadian itu, kesemua 298 orang penumpang dan anak kapal terbunuh.

Menurut laporan Reuters, pendakwaraya Manon Ridderbeks menuntut hukuman seumur hidup bagi keempat-empat mereka yang dinamakan sebagai Igor Girkin, Sergey Dubinsky, Oleg Pulatov dan Leonid Kharchenko.

Di luar bilik mahkamah, Piet Ploeg yang kehilangan abang, anak saudara dan kakak iparnya dalam nahas itu berkata, dia telah menunggu lama untuk mendengar cadangan pihak pendakwaan.

“Lega kerana pihak pendakwa menuntut hukuman maksimum,” katanya kepada pemberita.

Selepas bertahun-tahun mengumpul bukti, pasukan penyiasat antarabangsa membuat kesimpulan pada Mei 2018,  pelancar yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur adalah milik Briged Peluru Berpandu Anti-Pesawat Rusia ke-53.

Pendakwa raya berkata, defendan dikaitkan dengan pemberontak yang disokong Rusia di timur Ukraine dan memainkan peranan penting dalam kejadian yang menyebabkan pesawat itu terjatuh.

Warga Rusia Pulatov, Dubinsky dan Girkin serta Kharchenko dari Ukraine semuanya menafikan penglibatan mereka.

Perbicaraan keempat-empat suspek bermula 20 bulan lalu.

Hanya Pulatov telah menghantar peguam untuk mewakilinya manakala yang lain tidak bekerjasama dengan mahkamah dan sedang dibicarakan tanpa hadir.

Hujah penutup daripada peguam Pulatov dijangka pada bulan Mac dan keputusan pada akhir 2022.-Reuters