SHAH ALAM – Arahan pergerakan menyelamatkan mangsa banjir telah dikeluarkan oleh kerajaa sejak dua bulan lalu dan sejak itu anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap sedia.
Justeru menurut panglimanya, Jeneral Tan Sri Affendi Buang tidak timbul isu anggotanya menyelamatkan dan memindahkan mangsa tanpa kelulusan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) seperti yang didakwa baru-baru ini.
“Operasi banjir ini kita akan letakkan semua dalam mode standby. Kalau air naik maknanya arahan daripada atas daripada dua bulan lepas,” katanya ketika sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PSTK) di Taman Sri Muda hari ini.
Tambah Affendi, dalam keadaan terdesak apabila kawasan tertentu dinaiki air, anggota ATM dan asetnya tidak perlu menunggu pihak lain untuk menyelamatkan nyawa mangsa banjir.
“Kalau air naik, saya nak tunggu siapa lagi? Saya ada orang di sana, aset saya gerakkan nak tunggu apa lagi,” tambahya.
Beliau berkata demikian menjawab dakwaan ada anggota ATM yang membantu memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan tanpa menunggu arahan daripada NADMA.
Mengulas lanjut, Affendi mahu semua pihak perlu saling bekerjasama pada masa akan datang khususnya untuk mengurangkan impak bencana banjir.
“Kalau semua bekerjasama saya rasa perkara yang kita hadapi sekarang (kesan) kita dapat kurangkan.
“Saya tidak mahu salahkan orang lain tapi kita semua perlu bekerjasama dan dalam masa darurat, bencana dalam masa ini tidak ada satu sistem betul yang boleh digunakan apa yang perlu semua bekerjasama kita akan dapat selesaikan,” ujarnya. -MalaysiaGazette