SHAH ALAM – Banjir belum berakhir dan semua agensi kena mengekalkan tahap kesiapsiagaan.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, negeri yang secara tradisinya terjejas dengan Monsun Timur Laut seperti Johor sehingga kini belum dilanda banjir.
“Ingin saya ingatkan, bencana banjir ini kita kena kekal bersedia sebab ia belum berakhir lagi di kawasan Johor kawasan tradisi banjir ini belum terjadi lagi.
“Jadi semua orang kita di sana supaya apa yang berlaku mereka bersedia,” katanya ketika Sidang media Ops Banjir di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Taman Sri Muda hari ini.
Ujar beliau, anggota ATM kini berada di pelbagai negeri yang dijangka akan terjejas akibat monsun berkenaan.
“Anggota kami bukan sahaja menyelamatkan negara tapi sekarang memang berada di mana-mana untuk bersedia,” katanya.
Sebagai rekod, hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor mulai November lalu hingga awal Januari 2022 susulan peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula 3 November dan berterusan sehingga Mac tahun depan.
Sementara itu, Affendi berkata, seramai 63 pegawai dan 856 anggota lain-lain pangkat termasuk kumpulan sokongan diatur gerakkan bagi melaksanakan tugas bantuan menyelamat dan memindahkan mangsa banjir, penyediaan dan pengagihan makanan, liason officer di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).
Selain itu, anggota ATM turut digerakkan ke beberapa kawasan dalam fasa pasca banjir, bagi memberi bantuan secara gotong-royong membantu komuniti setempat membersihkan kemudahan seperti masjid atau rumah ibadat, rumah warga emas atau mereka yang tidak berupaya untuk membuat kerja-kerja pembersihan.
“Pada masa kini, ATM banyak menggerakkan aset-aset yang mempunyai mobiliti lasak dan sesuai digunakan bagi tujuan pengangkutan seperti Kenderaan Trak 7 tan dan 3 gan yang boleh meredah banjir selain dari penggunaan bot-bot tempur yang ada dalam pegangan ATM. Aset udara TUDM juga diletak dalam keadaan siap siaga sekiranya ia diperlukan bagi membantu mangsa banjir,” katanya.
Ujar beliau, kini tumpuan bantuan diberikan kepada Selangor, Pahang dan Kelantan yang menunjukkan situasi terjejas teruk di samping jumlah mangsa banjir lebih dari 1,000 orang.
“Berdasarkan situasi semasa, ATM juga menumpukan kepada Negeri Pahang yang menunjukkan peningkatan lokasi dan mangsa banjir yang terlibat,” tambah Affendi.
Katanya, di Pahang buat masa kini melibatkan jumlah mangsa seramai 38,399 orang, sembilan kawasan yang melibatkan atur gerak ATM adalah di Maran, Kuantan, Raub, Kuala Lipis, Jerantut, Temerloh, Pekan, Bentong dan Bera.- MalaysiaGazette