SHAH ALAM – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mahu semua agensi terlibat dengan pengurusan banjir menyusun pasukan dan strategi dengan baik agar dapat mengawal keadaan sekiranya berlaku banjir gelombang kedua.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, komunikasi sesama agensi penguatkuasaan perlu diperkukuhkan pada masa akan datang.
“Apa yang kita boleh belajar adalah untuk lebih bersedia dan menyusun atur. Susunan aset, petugas, komunikasi dan jaringan bantuan perlu kita kemas kini. Komunikasi perlu kita mantapkan,” katanya ketika sidang media di Taman Sri Muda di sini hari ini.
Selain itu Aminuddin berkata, negeri-negeri lain yang tidak berisiko banjir juga tidak boleh diabaikan.
“Kalau dulu kita fokus Kelantan, Terengganu dan Pahang, mungkin kali ini kita tumpu kepada negeri lain juga,” tambahnya.
Terdahulu Aminuddin berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia pukul 1 tengah hari tadi menjangkakan Pahang, Selangor, Sabah dan Sarawak antara yang akan menerima hujan lebat hari ini. – MalaysiaGazette