KUALA LUMPUR – Kanak-kanak yang ditemui lemah Taman Sri Muda, Shah Alam semalam didapati mengalami Acute Gastroenteritis (AGE) dengan lima peratus dehidrasi.
Kejadian itu berpunca daripada bahan mentah makanan yang rosak dan faktor kebersihan yang terjejas akibat banjir.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, kanak-kanak berusia setahun 11 bulan itu kini semakin pulih.
Kejadian bermula dengan abang kanak-kanak itu yang berumur 15 tahun dan kakaknya, 8 tahun mengalami gejala muntah-muntah pada 21 Disember 2021 dan telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.
Semalam, kanak-kanak tersebut mulai muntah pada jam 8.30 malam, kemudian kelihatan letih dan kurang aktif.
Ayahnya telah menghubungi 999 pada jam 10 malam untuk meminta bantuan kecemasan, seterusnya mereka sekeluarga telah dibawa ke klinik medan KKM di Taman Sri Muda pada jam 10.30 malam pada hari yang sama.
Namun kanak-kanak tersebut kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang bagi rawatan susulan
”KKM ingin memaklumkan bahawa tiada isu kelewatan respons kesihatan yang berlaku berkaitan isu ini,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambahnya, disebabkan kanak-kanak tersebut menunjukkan respons yang positif dan semakin pulih, dia diberikan rawatan lanjut sebagai pesakit dalam di wad kanak-kanak Kompleks Ibu dan Bayi (KRIBA) HTAR. – MalaysiaGazette