KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mendakwa projek tebatan banjir berskala amat besar yang dinamakan Canal City yang diberi peruntukan RM3 bilion di Shah Alam tergendala selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran Selangor selepas Pilihan Raya Umum Ke-12.
Katanya, projek itu dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum tahun 2008.
”Lokasi projek tersebut adalah ke selatan Majlis Perbandaran Shah Alam iaitu sekitar Taman Seri Muda dan Kota Kemuning.
”Ia melibatkan pembinaan terusan air utama sepanjang 18km merentasi daerah Klang hingga ke daerah Hulu Langat yang akan menghubungkan Sungai Klang dengan Sungai Langat dengan matlamat mengalihkan 30 peratus air dari Sungai Klang ke Sungai Langat pada waktu puncak.
”Beberapa terusan sekundar juga akan dibina,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Bekas perdana menteri itu menambah, selain itu juga, projek tersebut turut akan membina beberapa takungan air yang amat besar (seperti HORUS) untuk menyimpan air yang akan menjadi sumber air penduduk Selangor.
”Projek telah mula dibina pada tahun 2007 sehingga tahun 2009 tetapi tergendala apabila kerajaan Pakatan ambil alih Selangor selepas PRU12,” ujarnya.
Lalu projek tebatan air ini dibatalkan terus oleh kerajaan Pakatan Harapan Selangor dengan alasan ianya tidak memberi manfaat besar bagi Selangor.
”Akhirnya, tanah yang dikhususkan bagi projek ini dijual oleh kerajaan Selangor dengan harga murah giler kepada developer dua minggu sebelum PRU13,” dakwa beliau.
Najib berpendapat, Selangor wajar mengkaji semula pelaksanaan projek ini jika terusan air ini dapat mengurangkan risiko banjir, di samping dapat menambah rizab air mentah negeri itu. – MalaysiaGazette