KUALA LUMPUR – Seorang bapa kepada pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terselamat melahirkan keyakinan kepada pihak pengurusan akan aspek keselamatan pada masa akan datang.
Menurut Wan Nor Hisham Wan Jaafar, 47, beliau akan tetap menghantar anaknya ke Darul Quran biarpun kejadian kebakaran mengorbankan 23 nyawa berlaku pada pagi Khamis lalu.
“Kalau sekolah tahfiz ini sudah buka balik, kami akan teruskan hantar anak kami ke sana. Saya masih percaya kepada pihak pengurusan tahfiz.
“Bila berlaku macam ini, mungkin pihak pengurusan akan lebih berhati-hati dalam aspek keselamatan anak-anak tahfiz,” katanya di perkarangan wad kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.
Kata Wan Nor Hisham, anaknya Wan Muhammad Danish Wan Nor Hisham,14, hanya mengalami kecederaan biasa ketika kejadian berlaku dan masih dalam keadaan trauma.
“Dia luka dekat tangan, telinga dan hidung melecur, katanya.
Tambah Wan Nor Hisham, anaknya yang sedar sejurus dimasukkan ke HKL masih menitiskan air mata mengenangkan nasib 21 rakan dan dua gurunya yang terkorban dalam kejadian malang itu.
“Anak saya masih trauma tapi stabil. Air mata masih mengalir kalau cerita mengenai kejadian pagi Khamis tu.
“Masa kejadian mereka tengah bersiap untuk solat subuh. Dia kata ada bau asap dan terasa bahang panas. Malah ada kawan dalam bilik tu jerit ada api marak.
“Dalam masa panik, memang dia nak selamatkan kawan-kawan yang lain tapi gagal,” katanya menceritakan keadaan anak beliau.
Dalam kejadian awal pagi Khamis itu, seramai 23 pelajar termasuk dua guru terkorban dalam insiden kebakaran yang melibatkan Darul Quran.
Kesemua mangsa yang terkorban semalam disemadikan malam tadi di beberapa tanah perkuburan. -MalaysiaGazette.