KUALA LUMPUR – Seorang warga emas yang menggemparkan negara kerana bersetubuh dengan seekor kambing sehingga haiwan itu maut baru-baru ini akhirnya menerima balasannya.
Tertuduh, Shaari Hassan, 61, telah dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu di Hulu Selangor hari ini.
Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza membacakan hukuman selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan hari ini.
Tertuduh yang berbaju kemeja biru dibawa ke mahkamah dengan tangan bergari dan diiringi tiga anggota polis termasuk Pegawai Penyiasat kes berkenaan, Inspektor Azman Abdul Karim awal pagi tadi.
Mahkamah juga telah memerintahkan hukuman ke atas warga emas itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 28 Julai lalu.
Mahkamah Sesyen juga memerintahkan tertuduh diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun selepas selesai menjalani hukuman.
Mengikut fakta kertas pertuduhan, Shaari yang juga seorang duda itu didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan luar tabii dengan haiwan iaitu seekor kambing betina di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Buaya, Serendah Rawang di sini pukul 1.30 petang pada 27 Julai 2021.
Tertuduh didakwa atas kesalahan itu di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.
Semasa prosiding berlangsung sebelum hukuman terhadapnya dijatuhkan mahkamah, tertuduh mengakui perbuatannya itu selepas melihat gambar-gambar barang kes termasuk pakaiannya semasa kejadian.
Antara gambar yang ditunjukkan kepadanya termasuk tempat kejadian dan kambing yang menjadi mangsa maut dalam kes ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Warga emas ‘rogol’ kambing dibebas dengan jamin polis
- Warga emas ‘rogol’ kambing hingga mati didakwa esok
Pihak pendakwaan juga memberitahu mahkamah kambing itu mati disebabkan kegagalan paru-paru berfungsi.
Terdahulu peguambela mewakili tertuduh, Muizzudin Schanni Feizal Maurice Feizal memohon mahkamah agar menjatuhkan hukuman penjara yang berpatutan dan dilaksanakan dari tarikh tertuduh ditahan dengan alasan anak guamnya telah menyesal dengan perbuatannya.
“Tuan hakim, tertuduh merupakan seorang warga emas dan tinggal sebatang kara, memandangkan seksyen ini memperuntukkan hukuman sebat, mohon hukuman itu tidak dikenakan memandangkan tertuduh adalah seorang warga emas,” kata Muizzuddin.
Bagaimanpun Timbalan Pendakwa Raya, Khairun Nisa Noor Harun dalam hujah balas memohon mahkamah agar mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh.
Pada 28 Julai lalu, suspek seorang lelaki warga emas dilaporkan telah mengadakan hubungan seks luar tabii dengan kambing betina sehingga mengakibatkan haiwan peliharaan itu maut dalam kejadian di Serendah, Hulu Selangor.
Kejadian itu telah disedari seorang wanita tempatan berusia 45 tahun yang terdengar bunyi kambing mengembek dari kandang haiwan yang terletak di belakang rumahnya.
Semasa kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari sebelum melihat suspek bangun tanpa pakaian sebelum lari meloloskan diri ke dalam kawasan hutan berhampiran.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, pihaknya menerima satu laporan polis dari wanita terbabit pada pukul 6.24 petang di Balai Polis Serendah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor sebelum suspek dicekup polis dan direman untuk membantu siasatan.
Kertas siasatan itu telah diangkat kepada Jabatan Peguam Negara di Putrajaya sebelum menerima arahan mendakwa di mahkamah pada 24 November lalu.
Kemudian pada 25 November lalu, suspek akhirnya didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu atas dakwaan mengadakan hubungan seks luar tabii dengan kambing betina sehingga menyebabkan kematiannya.-MalaysiaGazette