GEORGE TOWN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang memberi jaminan bekalan makanan asas di negeri itu tidak terjejas susulan bencana banjir melanda beberapa negeri baru-baru ini.
Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, bekalan makanan asas di negeri ini mencukupi dan setakat ini tiada aduan mengenai kenaikan harga dilaporkan susulan kejadian banjir.
“Memang diakui terdapat beberapa barangan seperi roti Gardenia mempunyai gangguan bekalan, tetapi setakat ini keadaan masih terkawal.
“Bagi bekalan dan harga ayam dilaporkan stabil begitu juga dengan harga sayur, tidak melonjak tinggi.
“Kami memberi jaminan bahawa kejadian banjir yang berlaku sejak seminggu lalu tidak menjejaskan bekalan makanan di negeri ini dan akan sentiasa memantau bekalan dan harga dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan dan Pengumuman Penentuan Harga Maksimum Barangan Harga Terkawal Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2021 di Sam’s Groceria Straits Quay, Sri Tanjung Pinang, di sini.
Katanya, menerusi SHMMP yang bermula dari 23 hingga 31 Disember, KPDNHEP sudah mengenal pasti sebanyak 15 barangan terdiri daripada ayam, telur ayam, sayuran dan daging.
Pemantauan dan pemeriksaan di lakukan di lokasi tumpuan seperti pusat beli belah, pasaraya, pasar awam dan pasar tani.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Industri dan Pembangunan Keusahawanan Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain dan Pengarah Mydin Wilayah Utara, Datuk Dr Saduruddin Gulam Husen.
Dalam perkembangan lain, Mohd Ridzuan berkata, sejak Januari hingga Disember tahun ini, KPDNHEP sudah melakukan 54,731 pemeriksaan dan menghasilkan sebanyak 680 kes menerusi pelbagai akta.
“Ia membabitkan nilai rampasan sebanyak RM579,116 dan jumlah kompaun RM540,900.
“Paling banyak kesalahan dikesan membabitkan Akta Kawalan Bekalan 1961 diikuti Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Perihal Dagangan 2011,” kata Mohd Ridzuan. – MalaysiaGazette