SHAH ALAM – Kurang 24 jam penganut agama Kristian akan menyambut Hari Natal, namun bagi Priscillia Peterpaul, 43, tiada sambutan perayaan itu pada tahun ini.
Selepas menempuh episod dilanda banjir yang memaparkan pengalaman ngeri, beliau sama sekali tidak teruja menyambutnya esok.
Bahkan, rancangan untuk menyambut Krismas sambil bercuti di Port Dickson pada tahun ini juga terpaksa dibatalkan kerana perlu membersihkan rumah teres dua tingkatnya di Taman Sri Muda, selepas dilanda banjir buruk baru-baru ini.
“Tidak ada mood untuk sambut Hari Krismas, anak-anak tidak faham, mereka gembira tapi saya sendiri sudah tidak ada rasa mahu sambut krismas.
“Rancangannya kita nak bercuti sambil sambut Krismas, nak ke Port Dickson nak sambut Krismas dengan tenang,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Apa yang tinggal kini pada dirinya adalah perasaan fobia sekiranya hujan lebat berlaku sekali lagi.
“Sekarang hujan sikit dah risau tak boleh tidur, tidak nyenyak, tidur rumah abang. Memang takut, fobia.
“Fobia sampai takut nak ke mana-mana. Nak ke Kuala Lumpur pun selepas ini fikir banyak kali,” tambahnya.
Mengimbau kisah rumahnya ditenggelami air pada Sabtu lalu, Priscillia berkata, pada waktu itu beliau sedang bekerja manakala suaminya berada di rumah.
Air yang naik secara mendadak menghalangnya beliau untuk membawa suaminya keluar daripada kawasan berkenaan.
Selama dua hari terpisah dengan suami, beliau pada Isnin nekad untuk masuk ke kawasan perumahannya demi menyelamatkan suami.
Beliau berkata, pada hari berkenaan bimbang semakin menguasai dirinya kerana suaminya sudah mula keputusan bekalan makanan.
Hanya roti yang menjadi jamahan suami dan anjingnya.
“Hari Sabtu. Dua hari suami saya tidak dapat makan. Saya tidak dapat balik masa tu saya bekerja. Saya tidur di tempat kerja , tapi tak boleh tidur sebab risau suami di rumah.
“Anak saya dua-dua di rumah ibu saya. Memang tidak boleh keluar sebab dua inci lagi ke lantai atas.
“Hari Isnin saya buat keputusan masuk juga walaupun air di dada saya masa itu. Saya masuk juga ke sini selamatkan suami saya
“Pada saya masa itu selamatkan dia penting, mati matilah hidup hiduplah,” katanya lagi.
Meskipun hanya membawa kudrat untuk menyelamatkan suami, akhirnya Priscillia berjaya membawa suami dan anjingnya keluar daripada rumah berkenaan kemudian menginap di rumah abangnya di luar kawasan Shah Alam.
“Jalan seorang masuk tendang pintu lima kali. Kemudian saya bawa suami keluar dengan anjing saya. Masa nak keluar saya minta tolong jiran yang keluar ambil makanan bantu saya,” kata beliau.
Kini beliau perlu hadapi kenyataan barang keperluan rumah semuanya musbah, yang tinggal hanya mangkuk besi.
Bagaimanapun Priscillia bersyukur kerana semua anggota keluarganya selamat daripada menjadi mangsa bencana alam itu. – MalaysiaGazette