Home Nasional Hari Krismas tidak penting, nyawa ibu bapa keutamaan Anthony De Souza

Hari Krismas tidak penting, nyawa ibu bapa keutamaan Anthony De Souza

Anthony De Souza bercakap pada media ketika membersihkan kawasan rumah selepas kawasan dilanda banjir akibat hujan menjelang sambutan Hari Natal ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Sri Muda Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 24 DISEMBER 2021.

SHAH ALAM – Tidak dapat menyambut Hari Krismas tidak menjadi isu bagi Anthony De Souza,39.

Bagi Anthony apa yang penting adalah ibu bapanya selamat selepas tiga hari terperangkap di kediaman mereka di Taman Sri Muda tanpa bekalan makanan yang mencukupi.

“Kalau topik Krismas tidak ada kesan untuk saya, tidak dapat sambut krismas tidak mengapa, kita sambut dalam air, dalam keadaan membersihkan rumah dan buang barang lain,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ujarnya, terlalu banyak yang bermain di fikiran ketika tidak dapat membawa ibu dan bapa keluar daripada rumah yang sudah dinaiki air sehingga tujuh kaki tingginya.

“Sejak malam pada hari Jumaat dah risau, fikir cara lain untuk selamatkan ibu bapa di rumah,” tambah beliau.

Ditambah lagi dengan pasca banjir yang perlu dihadapi, kerugian demi kerugian berpuluh ribu ringgit, Anthony sememangnya tidak bersemangat menyambut Hari Natal yang akan disambut esok.

Dalam masa yang sama sebagai rakyat Malaysia, beliau turut bersimpati dengan mangsa banjir yang mengalami kerugian lebih besar apatah lagi melibatkan kehilangan nyawa, jika dibandingkan dengan diri dan keluarganya.

“Motor dan kereta boleh baiki tapi kos agak tinggi. Paling kurang kerugian RM20,000.

“Bagaimana kalau yang enam tujuh orang di rumah dengan kereta ada lebih dari tiga buah, mesti anggaran kerugian RM100,000,” ujar beliau. – MalaysiaGazette