Home Seni Hidup Syukur masih diberi peluang tunai solat Jumaat selepas bencana banjir

Syukur masih diberi peluang tunai solat Jumaat selepas bencana banjir

pengurangan penjarakan fizikal dalam saf solat jemaah serta aktiviti-aktiviti pengimarahan masjid dan surau dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Jumaat ini.- Gambar hiasan.

HULU LANGAT – Solat Jumaat di beberapa masjid di sini dapat didirikan mengikut prosedur standard operasi (SOP) apabila jemaah berpeluang menunaikan solat itu selepas kawasan tersebut dilanda banjir sejak Sabtu lalu.

Bagi Nazir Masjid Qariah Kampung Jawa, Mohamad Jamali Kamarudin, pihaknya rasa bersyukur kerana masjid itu dapat kembali beroperasi sejak Isnin lalu selepas dua hari tidak dapat digunakan.

Menurut beliau, ketika dilanda banjir, masjid itu ditenggelami air termasuk tiada kemudahan elektrik, air dan internet yang menghalang mereka mendapatkan pertolongan secepat mungkin.

“Selepas air surut, kemudahan air masih tiada dan kami tidak boleh hendak mencuci masjid. Namun hari Ahad kita dapat bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) yang datang bawa satu tangka air dan bersihkan masjid ini.

“Hari Isnin baru masjid ini dibuka untuk solat fardu Zohor. Kami ingin ucap terima kasih banyak kepada pihak bomba termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia yang turut datang membersih.

“Kami ahli kariah tidak boleh hendak bersih pada awalnya kerana rumah kami semua terlibat dengan banjir dan hanya beberapa jemaah rumah tidak dilanda tapi masih tidak mampu hendak cuci masjid ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Nazir Masjid Kg. Jawa, Jamali Kamarudin bercakap ketika ditemubual selepas menunaikan solat jumaat ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pasca banjir berikutan hujan lebat yang berterusan di Masjid Kampung Jawa, Hulu Langat, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 24 DISEMBER 2021.

Mohamad Jamali turut merakam terima kasih kepada semua pihak yang datang membantu termasuk pasukan sukarelawan ke kampung mereka yang dianggarkan sebanyak 400 rumah terlibat dalam bencana banjir itu.

Beliau berpendapat bencana banjir itu adalah ujian Allah SWT untuk umatnya lebih bertakwa dan jangan lalai dengan dunia ini.

“Dunia ini hanya sementera dan akhirnya kita akan mengadap Allah SWT dan hari ini kita mungkin lalai dan tidak ingat-Nya, jadi Dia uji kita dan sedarkan kita ada kehidupan selepas di dunia ini yang kekal selamanya,” katanya.

Keadaan kawasan di sekitar Hulu Langat bagaikan mimpi ngeri kepada penduduknya apabila hampir kebanyakan tempat musnah termasuk tempat tinggal, kenderaan, pakaian dan ada juga yang hanya tinggal sehelai sepinggang akibat dilanda banjir kilat baru-baru ini.

Antara kawasan yang terjejas teruk seperti yang tular di media sosial adalah Kampung Batu 25 Sungai Lui, Kampung Batu 16, Kampung Batu 17, Kampung Batu 18, Kampung Sungai Serai dan Taman Sri Nanding. – MalaysiaGazette
Penduduk duduk mendengar khutbah sebelum menunaikan solat jumaat ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pasca banjir berikutan hujan lebat yang berterusan di Masjid Kampung Jawa, Hulu Langat, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 24 DISEMBER 2021.