Home Nasional Hati-hati, Macau Scam kembali mengganas

Hati-hati, Macau Scam kembali mengganas

KUALA LUMPUR – Sejumlah 694 kes penipuan melalui panggilan telefon atau Macau Scam membabitkan kerugian RM21.4 juta dilaporkan berlaku dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, berdasarkan aduan dan siasatan, sindiket akan menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pegawai bank, pegawai polis, pegawai mahkamah atau pegawai dari syarikat pengutip hutang dalam modus operandinya.

Menurut beliau, nombor telefon yang tertera pada telefon mangsa biasanya adalah kepunyaan
agensi ataujabatan yang berkenaan kerana pihak sindiket mempunyai kaedah khas untuk memalsukan nombor telefon yang bakal tertera di telefon mangsa.

Mangsa akan dimaklumkan bahawa perbualan tersebut dirakam dan tidak membenarkan mereka untuk memaklumkan kepada orang lain.

Tambahnya, mangsa akan dimaklumkan bahawa mereka mempunyai hutang atau tunggakan bayaran dan diminta untuk menjelaskannya dengan kadar segera dan mengarahkan mangsa untuk membuat pembayaran atau pemindahan wang segera. Contohnya dalam tempoh setengah jam.

“Nombor akaun yang digunakan atau diberikan oleh pihak sindiket biasanya adalah atas nama individu persendirian dan sekiranya bayaran tidak dibuat, mangsa diugut akan ditangkap oleh pihak polis atau akaun bank mereka akan disita oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Acryl Sani menambah, sebagai satu langkah pencegahan, orang ramai adalah diingatkan untuk berwaspada apabila mendapat panggilan sebegini.

Mereka diminta tidak mudah mempercayai dakwaan yang dinyatakan oleh pemanggil dan jangan sesekali memberikan sebarang maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, maklumat akaun bank dan sebagainya.

Sekiranya khuatir dengan kesahihan dakwaan yang dinyatakan, serta-merta tamatkan perbualan dengan pemanggil dan lakukan semakan terperinci dengan agensi yang berkaitan.

Beliau mengingatkan bahawa pihak bank sama sekali tidak akan meminta pengesahan nombor akaun, bertanyakan soalan-soalan mencabar atau mengarahkan penukaran nombor pin atau mengarahkan pelanggan untuk membuat pindahan wang melalui panggilan telefon.

Malah, mana-mana agensi kerajaan juga tidak akan menghubungi orang ramai untuk meminta sebarang bayaran samada cukai, saman, bayaran perkhidmatan atau pindahan wang dibuat ke dalam akaun persendirian.

“Diharapkan modus operandi dan langkah pencegahan yang telah dinyatakan di atas dapat dijadikan panduan kepada orang ramai untuk mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan Macau Scam,” katanya. – MalaysiaGazette