Home Nasional Omicron: Kerajaan mungkin umum tempoh lebih pendek terima dos penggalak

Omicron: Kerajaan mungkin umum tempoh lebih pendek terima dos penggalak

Sejumlah 14,078,456 dos penggalak telah diberikan kepada individu dewasa yang layak sejak Program Imunisasi Covid-19 Dos Penggalak (PICK-B) dimulakan pada 1 Oktober lalu sehingga semalam. - Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Ekoran peningkatan kes varian Omicron, kerajaan mungkin akan menetapkan tempoh masa baharu yang lebih pendek kepada seseorang individu untuk mengambil suntikan dos penggalak Covid-19.

Pengumuman tersebut dijangka akan diumum awal minggu depan.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ia juga selaras dengan dengan keputusan negara-negara lain seperti Jerman dan Australia yang mengesyorkan tempoh dos penggalak lebih pendek bagi membendung varian Omicron.

Walaupun mengakui ada kemungkinan jangkitan varian itu lebih ringan berbanding varian Delta sebelum ini namun beliau tidak mahu mengambil mudah mengenainya.

“Sama ada data ini terpakai di Malaysia atau tidak kita belum ketahui. Epidemiologi di UK (United Kingdom) dan di Malaysia adalah berbeza, jadi apabila gelombang Omicron tiba sebenarnya kita akan tahu ini akan menyebabkan kemasukan ke hospital meningkat atau sebaliknya.

“Kemungkinan Omicron sudah berada di dalam komuniti adalah agak tinggi disebabkan kes di Sarawak ini adalah seorang yang tidak ada sejarah perjalanaan keluar negara.

“Maka ini menunjukkan bahawa ia sudah berada di komuniti dan kita menjangkakan kes-kes akan meningkat disebabkan Omicron sudah ada di komuniti,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas  yang turut di hadiri oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah di sini hari ini.

Kata Khairy lagi, sesiapa yang merancang untuk ke luar negara dinasihatkan mengambil dos penggalak terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan.

“Ini terutamanya kepada yang merancang melakukan perjalanan umrah di Arab Saudi,” katanya.

Setakat ini, 49 kes varian Omicron yang disahkan di Malaysia pada 23 dan 24 Dis, 30 kes (61 peratus) melibatkan pelancong yang pulang dari Arab Saudi. Pengembara ini tiba di Malaysia antara 13 dan 17 Disember. -MalaysiaGazette