SHAH ALAM – Wanita MIC Kebangsaan yang diterajui oleh Datuk Mohana Muniandy bukan sahaja mengerahkan pasukan briged wanitanya membantu mangsa banjir semasa bencana itu melanda malah berjanji akan meneruskan bantuan sehingga masalah tersebut selesai.
Kata Mohana kepada MalaysiaGazette, pihaknya seringkali berdepan dengan kritikan segelintir pihak yang cuba meraih publisiti dengan mencari kesalahan orang lain, tetapi pasukan wanitanya komited dalam menjaga kebajikan mangsa banjir.
“Ramai yang tidak tahu sebenarnya MIC atas arahan Presiden, Tan Sri SA Vigneswaran sudah mula menggerakkan semua jentera dan sayapnya sejak malam Sabtu lagi untuk mendekati mangsa-mangsa banjir seluruh negara.
“Apa yang kita tidak sangka adalah ada lokasi yang air naik mendadak sehingga bumbung. Tetapi pada masa sama, kita sudah mula gerakan jentera sana sini. Kita memang tidak ada masa langsung untuk ‘layan’ segelintir yang cuba merendahkan inisiatif, usaha kita.
“Fokus utama adalah membantu mangsa-mangsa ini yang semestinya sudah terlalu sedih, tidak bersemangat, perasaan dan emosi mereka berbaur, bercampur aduk. Kita juga ada mendekati mereka, memberi kata-kata semangat.
“Selain itu, saban hari kita sampaikan makanan, sedikit peralatan dan keperluan.
“Kelmarin kita adakan gotong royong, dengan tenaga kerja wanita serta sukarelawan kita hadir bersihkan rumah dan juga kuil yang sudah surut airnya di Taman Sri Muda. Kita akan terus kerah tenaga untuk bantu sebaik mungkin,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, Mohana turut memohon lebih ramai sukarelawan tampil membantu terutamanya selepas pasca banjir memandangkan pelbagai bantuan diperlukan untuk membersihkan rumah serta kerosakan.
“Setiap kali berlakunya bencana, memang umum mengetahui betapa besarnya hati rakyat Malaysia yang saling bantu membantu tanpa agenda atau ideologi serta fahaman. Kali ini juga marilah kita sama-sama menyumbang selagi yang terjadi kerana mangsa-mangsa ini amat memerlukan kita,” ujarnya. -MalaysiaGazette