KUALA LUMPUR – “Jika orang politik berjawatan sekadar mahu komen dan mengulas sensasi di media sosial menyalahkan semua orang lain kecuali diri/parti sendiri, tak perlu keluarkan kenyataan pun tak apa.
”Lebih baik fokus kerja membantu mangsa banjir dari sibuk fikir bagaimana memburukkan parti lain,” bidas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.
Beliau mengulas tindakan kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan yang menjadikan Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, dan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari sasaran terbaharunya.
Katanya, cukup menjengkelkan apabila seorang menteri dan menteri besar dari negeri sama bertelagah mengenai siapa yang menjadi Pengerusi MKN negeri.
Sebelum itu, Wan Saiful turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya lebih proaktif dalam mengetuai penyelarasan operasi bantuan kepada mangsa banjir.
Shahril berkata, beliau kurang minat hendak beradu dalam permainan sama menunding jari ke pihak lain disaat ini.
Tetapi, di tengah-tengah musibah banjir ini, banyak pihak sedang giat berikhtiar sebaik mampu di sebalik segala kekurangan, kesedihan dan kekesalan yang timbul.
Usaha-usaha tersebut apabila ia dibuat oleh orang politik, pertama ia tidak sempurna dan kedua ia tidak membuat pihak berkuasa atau ahli politik kebal dari kritikan.
”Apabila kritikan dan kemarahan itu datang dari rakyat, terutamanya dari mangsa banjir, maka yang dikritik itu sudah tentu menerima dan menilai dengan berlapang dada. Pasti ada banyak pengajaran dan iktibar dalam soal pengendalian pra, semasa, dan pasca banjir.
”Cuma, apabila komen dan kritikan itu datang dari pihak berkepentingan seperti ahli politik lain, biarlah ia membina,” katanya tidak menafikan kekurangan yang wujud dari segi penyelarasan antara agensi/persekutuan/negeri mahupun kepantasan respons setelah banjir melanda.
Ini semua mesti diperbaiki setelah selesai urusan mendesak depan mata sekarang.
Katanya, banyak juga cerita sensasi yang disebarkan untuk memburukkan Ismail Sabri seperti dakwaan majlis kesyukuran 100 hari sebagai perdana menteri.
”Namun, setelah diperiksa, ini merupakan anjuran Pertubuhan Anak Bera yang sudah dirancang sebelum bencana banjir. Selepas kejadian tersebut, penganjur tukar aturcara dan melancarkan tabung bantuan mangsa banjir,” terangnya. – MalaysiaGazette