PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti keperluan bagi mana-mana sekolah menangguhkan sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022, berdasarkan kapasiti premis yang terjejas akibat banjir, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.
Beliau berkata buat masa ini, KPM sedang menjalankan penilaian ke atas kerosakan yang berlaku pada infrastruktur sekolah termasuk peralatan komputer, perabot dan buku sekolah.
“Secara umumnya, kita tidak akan tangguh sesi persekolahan dan KPM sedang usahakan untuk menyelesaikan isu sekolah terjejas banjir, sebelum tempoh pembukaan sekolah.
Dalam pada itu beliau turut memohon agar pihak sekolah bekerjasama dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah, memperincikan keperluan persekolahan seperti perabot dan buku teks bagi memudahkan KPM menyalurkan bantuan sewajarnya.
Radzi sebelum ini mengumumkan sesi persekolahan penggal tiga 2021/2022 yang sepatutnya bermula 2 Jan ini bagi Kumpulan A dan 3 Jan ini bagi Kumpulan B ditangguh selama seminggu susulan bencana banjir.
Kata Radzi lagi, KPM masih lagi melaksanakan sistem penggiliran bagi kehadiran murid apabila sekolah dibuka dan maklumat berkaitan akan diumumkan kelak.
“Masih ada penggiliran dan dalam masa terdekat kita akan nyatakan secara terperinci kumpulan mana yang digilirkan dan yang tidak terlibat. Kita ingin memastikan pembukaan ini berlangsung dengan selamat dan teratur,” katanya. – MalaysiaGazette