Home Politik Pemimpin UMNO cawangan, bahagian perlu pantas tangkis fitnah

Pemimpin UMNO cawangan, bahagian perlu pantas tangkis fitnah

KOTA BHARU – Pemimpin UMNO di peringkat cawangan dan bahagian perlu proaktif dan pantas menangkis fitnah dilemparkan pembangkang terhadap kepimpinan parti, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata pembangkang menabur fitnah untuk mengelirukan rakyat dan jika lambat ditangkis, ia akan menjadi persepsi yang sukar diperbetulkan.

“Pembangkang hidup dengan fitnah, selagi kita (UMNO) tidak menjawab, dia akan timbulkan lagi banyak perkara. Pembangkang akan lebih suka kalau kita tidak menjawab dan akhirnya membentuk persepsi bahawa apa yang difitnahkan itu adalah kebenaran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Bharu di sini, Sabtu.

Turut hadir Ketua UMNO bahagian itu Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Ismail Sabri berkata jentera UMNO merangkumi lebih 22,000 cawangan dan 191 bahagian tidak seharusnya membiarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berseorangan menghadapi fitnah yang giat dilakukan pembangkang apabila pilihan raya umum semakin hampir.

Sebagai contoh, katanya, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mendakwa kononnya Najib tidak berani ke Amerika Syarikat kerana mungkin ditangkap, namun semuanya itu tidak benar berikutan lawatan perdana menteri ke negara tersebut baru-baru ini.

Selain itu, Ismail Sabri meminta seluruh jentera UMNO supaya lebih agresif mendedahkan masalah dan kelemahan pembangkang di negeri pimpinan mereka iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan supaya diketahui selain perpecahan yang berlaku dalam kalangan mereka.

Mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 akan datang, beliau berkata semua parti komponen perlu bekerjasama membuat persiapan bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).- BERNAMA