Home Pendapat Leptospirosis menyusul pasca ‘tsunami’ lumpur

Leptospirosis menyusul pasca ‘tsunami’ lumpur

Pekerja KDEB Waste Management Sdn Bhd melakukan kerja-kerja pemunggahan sampah pukal yang diambil dari kawasan yang dilanda bencana banjir ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stesen Pemindahan Sisa Pepejal, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 24 DISEMBER 2021.

TARIKH 19 Disember 2021 adalah tarikh yang tak akan dilupakan oleh rakyat Malaysia
terutamaya mereka yang menetap di negeri Selangor dan Pahang. Tarikh keramat ini
menyaksikan ‘tsunami’ lumpur (banjir lumpur) menyerang beberapa negeri di negara
kita termasuklah dua negeri ini. Tragedi Disember ini mengakibatkan ramai yang
kehilangang tempat tinggal, harta benda dan juga insan yang tersayang.

Pasca tsunami lumpur ramai yang terkesan akibatnya mula kembali ke kediaman
masing-masing. Semua sibuk membersihkan tempat tinggal dengan dibantu oleh
ribuan rakyat Malaysia yang perihatin. Bantuan keperluan harian seperti pakaian,
peralatan kebersihan diri, makanan, minuman dan sebagainya disalurkan secara
peribadi ataupun melalui agensi kerajaan dan agensi bukan kerajaan.

Walau bagaimanapun bantuan air bersih bagi kegunaan harian termasuklah minuman
masih belum mencukupi. Ini menyebabkan ramai yang terdedah kepada penyakit
bawaan aiar air seperti taun, kepialu, dan kencing tikus, dan sebagainya. Risiko
penyakit jangkitan ini adalah lebih tinggi bagi mereka yang tinggal dikawasan yang
terlibat dengan banjir. Jangkitan ini boleh berlaku di kawasan banjir biasa dan juga
banjir lumpur kerana kedua dua keadaan ini boleh menyebabkan sistem kebersihan
menjadi lemah dan sukar dikawal.

Kencing tikus adalah sejenis penyakit zoonosis iaitu penyakit yang berjangkit daripada
haiwan kepada manusia. Kencing tikus ini juga dikenali sebagai ‘leptospirosis’ didalam
bahasa perubatan kerana punca jangkitannya adalah daripada bakteria dari genus
Leptospira. Leptospirosis ini boleh menjangkiti manusia sekiranya mereka ini terdedah
kepada air, makanan, atau tanah yang dicemari dengan air kencing haiwan yang terjangkit seperti tikus, kucing, anjing, lembu, kambing, babi, kuda dan haiwan-
haiwan liar yang lain.

Sekiranya seseorang itu terdedah kepada kuman leptospira ini, tempuh masa inkubasi
iaitu tempoh dari masa terdedah sehingga timbul gejala adalah di antara dua hingga
sepuluh hari. Leptospirosis mempunyai pelbagai gejala klinikal termasuklah demam
yang tinggi, sakit kepala, menggigil, sakit otot, muntah, kekuningan, radang mata,
sakit perut, cirit-birit, batuk dan ruam kulit.

Berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jangkitan leptospirosis boleh
dibahagikan kepada empat kategori klinikal berdasarkan tanda-tanda berikut.
1. Penyakit yang menyerupai influenza yang ringan (deman dan sakit badan)
2. Sindrom Weil dimana pesakit akan mempunyai kekuningan, kegagalan ginjal,
pendarahan dan radang otot jantung dengan denyutan yang tak sekata
3. Radang selaput otak (meningitis) atau radang otak (mengingoencephalitis)
4. Pendarahan paru-paru serta kegagalan sistem pernafasan

Sekiranya mendapat gejala penyakit seperti di atas terutamanya dalam tempoh dua
minggu dari tempoh terdedah kepada banjir, maka anda dinasihatkan supaya segera
ke klinik berhampiran untuk pemeriksaan dan rawatan. Ini adalah kerana, jangkitan
leptospirosis biasanya meningkat pada musim banjir disebabkan oleh berlakunya
pencemaran air.

Jangkitan leptospirosis boleh disahkan melalui dua jenis kaedah ujian. Kaedah
pertama adalah dengan cara mengesan bakteria leptospira melalui kultur yang diambil
daripada sampel darah, air kencing atau air tulang belakang. Kaedah kedua pula adalah dengan melakukan ujian serologi bagi mengesan antobodi spesifik terhadap kuman leptospira dengan menggunakan sampel darah.

Bagi mengelakkan kejadian penyakit bawaan air seperti leptospirosis ini, orang ramai
dinasihatkan supaya mengambil air yang telah dimasak dan dirawat. Orang ramai juga
adalah dinasihatkan supaya mengelak dari melakukan sebarang aktiviti dikawasan
banjir. Sekiranya masih terpaksa terdedah kepada air banjir, tutuplah sebarang luka
atau kudis dengan sempurna dengan menggunakan plaster yang kalis air.

Selain daripada itu, orang ramai juga perlu sentiasa menjaga kebersihan persekitaran
bagi mengelakkan kehadiran perumah haiwan khususnya tikus. Ini adalah kerana
sampah sarap dan sia-sisa makanan yang tidak dilupuskan secara sempurna akan
mengundang kehadiran haiwan ini dan meningkatkan risiko pencemaran dengan
bakteria berkenaan.

Penyakit leptsospirosis boleh dirawat dengan menggunakan antibiotik doxycycline.
Rawatan awal dengan antibiotik ini akan dapat menggelakkan komplikasi dan kematian. Antibiotik Doxycycline juga boleh diberi sebagai profilaksis kepada mereka yang terdedah kepada jangkitan melalui pekerjaan seperti tentera, petugas penyelamat, dan lain-lain.

Mangsa banjr, petugas penyelamat dan sukarelawan dikawasan banjir adalah berisiko
mendapat leptospirosis. Maka mereka ini disarankan untuk mengambil antibiotik
doxycycline sebagai profilaksis. Memandangkan antibiotik ini adalah ubat terkawal,
nasihat doktor perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum mengambil profilaksis.
Selain daripada mengambil antibiotik sebagai profilaksis, mereka yang mempunyai
risiko terdedah kepada air yang tercemar hendaklah sentiasa berpakaian sempurna
dan sebaiknya berkasut kalis air. Orang ramai disaran menggunakan alat pelindung diri
seperti but getah dan sarung tangan getah semasa aktiviti pembersihan terutamanya
jika melibatkan banjir lumpur.

Pada 26 Disember 2021, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seramai 47 orang
menjadi mangsa korban banjir seluruh negara sehingga kini dan lima lagi masih hilang.
Memetik kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani pada tarikh
yang sama, Selangor kekal dengan 25 mangsa manakala Pahang seramai 19 mangsa
dan di Kelantan tiga mangsa.

Pasca banjir lumpur, penduduk di kawasan terlibat sibuk dengan urusan pascabencana
termasuklah membersihkan kediaman yang terjejas teruk akibat banjir. Begitulah
situasi yang kelihatan di kebanyakan rumah. Kehadiran bantuan luar termasuklah dari
sukarelawan amat melegakan penduduk kerana dapat meringankan beban. Lantaran itu orang ramai dinasihatkan supaya menjaga kesihatan diri termasuklah mengelak jangkitan bawaan air iaitu leptospirosis.

Untuk semua rakyat Malaysia yang diuji dengan bencana tsunami lumpur, semoga
diberikan kekuatan, dipermudahkan segala urusan dan semoga Allah gantikan dengan
yang lebih baik, amin, ya rabbal alamin.

 

Professor Madya Dr Nik Nur Fatnoon Nik Ahmad
Pensyarah Klinikal Jabatan Perubatan, Fakulti Perubatan &
Pakar Perunding Kanan,
Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah
Universiti Antarabangsa Islam Malaysia