Home Pendapat Pengurusan bencana: Bidang kuasa Kerajaan Pusat dan negeri perlu jelas dan selaras

Pengurusan bencana: Bidang kuasa Kerajaan Pusat dan negeri perlu jelas dan selaras

Penduduk Taman Sri Muda menyelamatkan motosikalnya yang telah ditengelami air banjir berikutan hujan lebat berpanjangan bermula dari pagi sehingga lewat malam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 21 DISEMBER 2021.

PERSATUAN Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (Malaysian Society for Occupational Safety and Health (MSOSH) mengikuti secara dekat isu pengurusan bencana yang melanda negara pada waktu ini, khususnya di Negeri Selangor.

Berdasarkan pemerhatian, walaupun setelah seminggu banjir melanda, isu pengurusan bencana banjir masih membawa kepada permasalahan yang sama seperti insiden-insiden sebelum ini.

Antara yang tular di media sosial adalah isu kesiapsiagaan, penyelarasan dan koordinasi di peringkat kerajaan, sama ada semasa operasi penyelamatan hingga bantuan pasca banjir.

Berdasarkan laporan media juga, terdapat ketidakselarasan komunikasi serta fungsi-fungsi di peringkat kerajaan, termasuk banyak pihak yang menyalahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Pakar meteorologi juga menyatakan bahawa walaupun perkhidmatan kaji cuaca telah memberi amaran kepada kerajaan tentang jangkaan hujan lebat berterusan, Nadma, MetMalaysia serta Jabatan Pengairan dan Saliran gagal memberi amaran lebih awal kepada penduduk Lembah Klang.

Ini membawa kepada implikasi yang serius, dengan lambakan badan bukan kerajaan (NGO) yang hadir membantu mendahului aset-aset kerajaan, seolah-olah agensi kerajaan telah gagal menguruskan bencana ini sepenuhnya.

Lebih buruk apabila bencana yang paling buruk dalam negara untuk tempoh 50 tahun ini telah pun meragut nyawa manusia.

Ini adalah perkembangan yang tidak sihat.

Oleh itu, pihak kerajaan dicadangkan untuk mencari jalan penyelesaian dan jalan keluar daripada permasalahan tersebut.

MSOSH mencadangkan agar satu garis panduan yang jelas mengenai bidang kuasa, punca kuasa dan chain of command diperjelaskan kepada umum atau badan professional termasuk NGO bagi tujuan kesiapsiagaan pengurusan bencana selepas ini.

Punca kuasa dan bidang kuasa kerajaan pusat dan negeri perlu jelas dan selaras.

Fungsi pegawai daerah, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Menteri Besar, perlulah selaras dengan pengurusan di peringkat kerajaan persekutuan bagi mengelakkan pertindihan fungsi dan kerja.

Selain itu, latihan asas bencana (drills) dan pengurangan risiko dalam komuniti perlu dibuat dengan lebih meluas di kawasan risiko banjir secara kerap dan serius bersama komuniti setempat agar masyarakat mempunyai pengetahuan, pemahaman dan kesiapsiagaan yang mantap apabila berhadapan dengan bencana.

Penduduk mesti faham apa yang perlu dilakukan semasa bencana dan bagaimana “evacuation process” dijalankan bagi memudahkan semua pihak.

Latihan asas bencana dan pengurangan risiko dalam komuniti ini akan dapat memperbaiki kefahaman, pemikiran dan komunikasi yang lebih baik antara badan berwajib dan masyarakat.

Harus diingatkan juga, pemerkasaan komuniti setempat dalam respons dan kerentanan serta komuniti luar dalam memberi bantuan semasa bencana hanya akan lebih berkesan apabila kerajaan mempunyai hala tuju yang jelas di dalam pengurusan bencana.

Dengan arahan dan peranan yang jelas, ia akan dapat membantu melancarkan lagi operasi menyelamat dan membantu mangsa banjir, di mana penglibatan NGO dapat diperkasakan dengan lebih baik.

MSOSH juga berharap semasa tempoh bencana ini, polemik politik dapat dihentikan dan fokus bantuan kepada rakyat menjadi perkara utama semua pemimpin di semua lapisan masyarakat.

Sebagai sebuah badan yang menitik beratkan keselamatan umum, MSOSH menyeru semua pihak untuk tingkatkan kerjasama yang baik bagi memastikan mangsa banjir boleh kembali hidup seperti biasa.

MSOSH