Home Ekonomi Pelabur asing lupus RM38.16 juta ekuiti tempatan minggu lalu

Pelabur asing lupus RM38.16 juta ekuiti tempatan minggu lalu

Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jualan saham tempatan oleh pelabur asing susut minggu lalu tetapi menyaksikan jualan bersih asing minggu kelima berturut-turut.

Berdasarkan data Bursa Malaysia, pelabur asing menjual sebanyak RM38.16 juta ekuiti tempatan minggu lepas berbanding RM348.36 juta pada minggu sebelumnya.

MIDF Research berkata, ketika pasaran dibuka semula Isnin lepas, pelabur institusi dan pelabur runcit tempatan masing-masing adalah pembeli bersih, berjumlah RM17.58 juta dan RM31.17 juta.

Sementara itu, pelabur asing adalah penjual bersih sebanyak RM48.75 juta.

Pelabur asing adalah penjual bersih untuk majoriti minggu lalu kecuali pada hari Rabu dan Khamis.

Menurutnya, aliran keluar asing terbesar direkodkan pada hari Selasa iaitu sebanyak RM124.28 juta.

Pelabur runcit pula adalah pembeli bersih untuk setiap hari dalam seminggu lalu kecuali pada hari Rabu dan Selasa dengan belian terbesar pada hari Selasa sebanyak RM48.72 juta.

Ini tidak mencukupi untuk mendorong pasaran berada pada kedudukan belian bersih walaupun belian dilakukan pada hari Isnin, Selasa dan Jumaat.

Untuk minggu lalu, pelabur runcit menjual ekuiti bernilai RM4.19 juta di Bursa Malaysia – minggu pertama pelabur runcit mencatatkan jualan bersih selepas aliran masuk selama sembilan minggu berturut-turut.

Firma penyelidikan itu menambah, pelabur institusi pula merekodkan belian bersih mingguan terkumpul sebanyak RM42.36 juta.

Pelabur institusi tempatan juga adalah pembeli bersih untuk majoriti minggu kecuali pada hari Rabu dan Khamis dengan belian bersih terbesar pada hari Selasa berjumlah RM75.57 juta.

Sejak awal tahun 2021, secara kumulatif, pelabur runcit merupakan satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti dengan nilai RM12.44 bilion. pelabur institusi dan pelabur asing adalah penjual bersih masing-masing pada RM9.27 bilion dan RM3.17 bilion.

Dari segi penyertaan, pelabur runcit, pelabur institusi tempatan dan pelabur asing mencatat pergerakan mingguan masing-masing sebanyak -18.98%, -24.17% dan -48.32% dalam purata nilai dagangan harian (ADTV). – MalaysiaGazette