Home Pendapat Solidariti pasca banjir bukti keutuhan Keluarga Malaysia

Solidariti pasca banjir bukti keutuhan Keluarga Malaysia

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu membawa keluar mangsa-mangsa banjir menggunakan bot akibat hujan berterusan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Seri Muda Seksyen 25, Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 21 DISEMBER 2021.

MASYARAKAT Malaysia sememangnya terkenal dengan sebuah masyarakat yang peka dan cakna terhadap setiap isu-isu yang berlaku dalam masyarakat. Dengan musibah yang berlaku mutakhir ini, nilai tersebut lebih jelas dapat diperhatikan. Misalnya, banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini, ramai lapisan masyarakat sama ada secara individu mahupun badan-badan bukan kerajaan (NGO) tampil menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir dan juga para sukarelawan yang terlibat menguruskan mangsa banjir. Pihak kerajaan juga tidak terlepas dalam membantu rakyatnya yang terkesan akibat banjir yang melanda.

Lebih terperinci, dilaporkan bahawa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat (KPWKM) telah membuka pusat pengumpulan semua bantuan sumbangan
syarikat korporat, individu dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk diagihkan kepada mangsa banjir di seluruh negara. Selain itu, Majlis Keselamatan Negara Negeri Selangor bersama-sama Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan beberapa buah NGO juga terlibat dalam usaha menyelamatkan dan memberikan bantuan makanan kepada mangsa banjir yang terperangkap di kawasan Seksyen 25 Seri Muda Shah Alam akibat banjir yang melanda negeri berkenaan.

Bagi memudahkan orang ramai untuk memberikan bantuan kepada mangsa banjir, terdapat sebahagian NGO seperti Adab Youth Garage yang mengambil inisiatif menubuhkan pusat pengumpulan bantuan banjir di Bandar Baru Bangi supaya setiap bantuan yang disalurkan dapat diagihkan secara terurus dan sistematik. Bahkan, terdapat banyak syarikat yang membantu mangsa-mangsa banjir tanpa menghiraukan kerugian yang dialaminya. Fenomena solidariti terhadap mangsa-mangsa bencana alam ini bukan perkara yang baharu dalam negara kita Malaysia. Saban tahun Malaysia dilanda bencana alam seperti banjir dan setiap kali berlakunya bencana alam pasti ramai pihak yang akan datang menghulurkan bantuan bagi membantu mangsa-mangsa yang terkesan akibat bencana alam tersebut.

Solidariti ini pada hakikatnya menunjukkan keutuhan keluarga Malaysia dalam segenap
lapisan masyarakat. Tindakan rakyat Malaysia yang Bersatu hati dan jiwa dalam
menghulurkan bantuan ini adalah selari dengan firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 77, “Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).” Dalam sebuah hadith Nabi SAW bersabda, “Sesiapa yang menghilangkan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan menghilangkan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Sesiapa yang menutupi aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat.

Allah senantiasa menolong hambaNya selama hambaNya itu suka menolong saudaranya.”
(Riwayat Muslim) Dalam mengamati dengan lebih lanjut solidariti pasca musibah banjir yang melanda negara kita, ia menggambarkan wujudnya satu pertautan erat antara rakyat sebagaimana yang cuba diterapkan melalui gagasan Keluarga Malaysia. Bahasa mudahnya, setiap tindakan yang dilakukan oleh pelbagai pihak pada waktu getir ini amat selari dengan dasar Keluarga Malaysia.

Jika diamati dengan lebih lanjut, dasar Keluarga Malaysia dipilih berdasarkan
takrifannya yang bersifat inklusif merentasi agama, bangsa dan kaum. Dalam masa yang
sama ia menekankan tiga nilai utama iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran
serta 20 nilai kemanusiaan yang terdiri daripada integriti, sikap amanah, prinsip keadilan,
amalan bermusyawarah, penerapan budaya ilmu, komunikasi berhemah, pembinaan akhlak mulia, nilai kebertanggungjawaban, membudayakan amalan ihsan, mengekalkan suasana harmoni, menyemai budaya khidmat sesama ahli, menjaga kehormatan dan maruah, menyemai semangat prihatin, menerap sifat sabar, memupuk semangat keamanan dan kesejahteraan, menjaga keimanan, membudayakan amalan sihat fizikal dan mental, berkasih sayang, bersikap hormat dan taat. (Pejabat Perdana Menteri, 2021)

Gagasan ini dari satu sudut dilihat sangat dekat dengan rakyat Malaysia dan selari dengan
realiti semasa. Hal ini kerana, dalam sesebuah masyarakat antara unit terpenting adalah
keluarga. Hassan al-Banna menegaskan bahawa prasyarat pembinaan masyarakat yang baik mestilah bermula daripada keluarga yang salih. Menariknya, dalam sistem kekeluargaan ia mempunyai nilai dan tabiat yang tersendiri seperti prihatin terhadap keadaan ahli keluarga. Justeru, nilai kekeluargaan tersebut adalah bertepatan dengan nilai utama dalam dasar Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. Maka sebarang cabaran yang mendatang sama ada dalaman atau luaran perlu diselesaikan dalam konteks perbincangan kekeluargaan. (Mohd Ridhuan, 2021, e-Book Keluarga Malaysia).

Dalam hal ini, bencana alam yang berlaku menuntut sikap cakna dan perihatin daripada
seluruh rakyat untuk bersolidariti umpama sebuah keluarga besar di negara ini. Ianya perlu direalisasikan melalui peranan kerajaan sebagai ketua keluarga dan rakyat sebagai anggota keluarga dengan memberi perhatian yang sewajarnya demi memastikan ujian dan cabaran ini dapat diatasi dengan sebaiknya. Semua mangsa bencana rata-ratanya adalah daripada kaum yang pelbagai, maka penghayatan terhadap lima rukun negara dan perlembahaan persekutuan perlu dihayati bersama agar solidariti dapat dilakukan dalam suasana yang harmoni tanpa prejudis perkauman, saling hormat dan toleransi antara budaya dan agama di Malaysia.

Berdasarkan solidariti yang ditonjolkan rakyat Malaysia pada waktu ini, adalah diyakini
bahawa semua masyarakat yang terjejas akibat banjir mendapat perhatian sama rata. Keadaan ini hakikatnya menonjolkan sikap kekeluargaan antara masyarakat. Saling membantu, cakna dan toleransi tanpa mengambil kira latar belakang agama dan bangsa. Hal ini merupakan sesuatu yang amat ditekankan dalam pembentukan keluarga Malaysia. Sungguhpun begitu, tindakan yang lebih pantas harap dapat diambil bagi membaiki sebarang kelemahan pengurusan pasca banjir. Sebagai kesimpulan, diharapkan musibah yang melanda ini dapat menguatkan jiwa antara sesama rakyat. Bersatu di atas nilai-nilai yang sama sebagai sebuah sebuah keluarga Malaysia.

Penulis: Dr. Muhammad Safwan Harun
Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul,
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Ibrahim Adham Mohd Rokhibi
Pelajar Sarjana, Jabatan al-Quran dan al-Hadis,
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya