LONDON – Penyerang Manchester City, Ferran Torres tiba di Barcelona bagi menyelesaikan pemeriksaan perubatan sebelum diumumkan sebagai pemain baharu kelab La Liga dalam masa terdekat.
Wartawan yang khusus melaporkan perpindahan pemain, Fabrizio Romano berkata, harga Torres dianggarkan £55 juta dengan tambahan £10 juta untuk pemain antarabangsa Sepanyol itu.
Torres dilaporkan bersetuju dengan kontrak panjang selama lima tahun selepas menjadi idaman Xavi sejak hari pertamanya di Barcelona lagi.
Barca pada awalnya dijangka menawarkan perjanjian pinjaman namun kemudian berjaya mendapatkan pemain itu secara tetap.
Barcelona kini bergelut untuk mencari penyerang baharu selepas Sergio Aguero terpaksa bersara atas nasihat pakar perubatan selepas mengalami masalah jantung.
Beberapa nama penyerang lain dikaitkan dengan Barcelona termasuk Alexis Sanchez dan juga Edinson Cavani. – MalaysiaGazette