Home Nasional Buat laporan polis palsu, juruwang dipenjara, didenda

Buat laporan polis palsu, juruwang dipenjara, didenda

pegawai SB memfailkan saman fitnah menerusi peguamnya M Manoharan pada 23 Mei lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap bekas diplomat dan pengarah Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Seorang juruwang wanita yang membuat laporan polis palsu berhubung kehilangan kad pengenalannya kerana bimbang didenda oleh Jabatan Pendaftaran Negara, hari ini dihukum penjara tiga hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini.

Majistret Nik Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu selepas Siti Norhidayah Mohamad Amin, 29, mengaku bersalah atas pertuduhan memberi maklumat palsu kepada Jamarul Azuan Abdullah sehingga menyebabkan pegawai polis itu menyiasat kejadian seperti yang dilaporkan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan akan dipenjara tiga hari lagi jika gagal membayar denda. Siti Norhidayah membayar denda itu.

Tertuduh, yang bekerja di sebuah pasar raya, didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Gombak pada 1.44 pagi 12 Disember lepas mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hasni memohon hukuman setimpal kerana perbuatan Siti Norhidayah menyusahkan banyak pihak terutama pegawai yang menyiasat laporan polis palsu itu manakala tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan laporan tersebut dibuat kerana bimbang didenda oleh JPN.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh telah membuat laporan polis kononnya dia telah disamun oleh dua lelaki bermotosikal sedangkan kejadian itu tidak wujud.

Siasatan mendapati dompet Siti Norhidayah yang mengandungi kad pengenalannya telah tercicir dan dia mengakui membuat laporan polis palsu bagi mengelak daripada didenda oleh JPN ketika membuat kad pengenalan baharu. – Bernama