Home Nasional ATM nafi trak berlogo UN bawa bantuan banjir

ATM nafi trak berlogo UN bawa bantuan banjir

Paparan video yang ditularkan oleh seorang pemilik Facebook menunjukkan trak berlogo UN yang didakwa membawa bantuan banjir baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan keterlibatan trak berlogo UN atau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam membawa bantuan banjir di negara ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, video berdurasi satu minit yang memaparkan beberapa buah trak tiga tan berlogo UN dan berwarna putih itu telah ditularkan oleh dua akaun Facebook pada 7 dan 24 Disember lalu.

Justeru katanya, video yang tular itu adalah tidak benar sama sekali.

“Untuk makluman, paparan video tersebut adalah merupakan proses Final Acceptance Test (FAT) yang dilaksanakan oleh ATM sebelum kenderaan tersebut diatur gerak ke Lubnan untuk kegunaan Kontinjen Malbatt 850 yang melaksanakan misi pengaman di bawah United Nations Interim Force In Lebanon,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Affendi menegaskan, masyarakat tidak membuat sebarang andaian atau menularkan sebarang perkara yang tidak pasti atau berita palsu.

Ini kerana ia boleh mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat, katanya.

“Adalah ditegaskan bahawa mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujarnya. – MalaysiaGazette