Home Dunia Presiden Somalia gantung tugas perdana menteri atas dakwaan rasuah

Presiden Somalia gantung tugas perdana menteri atas dakwaan rasuah

Mohamed Hussein Roble . foto Reuters

MOGADISHU – Presiden Somalia, Mohamed Abdullahi Farmajo telah menggantung jawatan perdana menteri, yang kini berdepan dengan dakwaan mencuri tanah.

Pejabat Mohamed Hussein Roble berkata, kenyataan presiden itu adalah keterlaluan dan akan tetap memegang jawatan perdana menteri.

Sekutunya berkata, presiden telah cuba melakukan “rampasan kuasa tidak langsung”.

Pasukan keselamatan gagal menghalang Roble daripada memasuki pejabatnya pada hari Isnin.

Kedua-dua lelaki itu telah terlibat dalam perebutan kuasa yang telah lama berlangsung, menimbulkan kebimbangan akan memburukkan lagi ketidakstabilan di Somalia.

Kedutaan Amerika Syarikat di Somalia menggesa para pemimpin itu “untuk menahan diri daripada tindakan provokasi, dan mengelakkan keganasan”.

Somalia tidak mempunyai kerajaan pusat yang berkesan sejak penggulingan pemerintah Siad Barre pada 1991.

Negara ini dicemari oleh pertikaian antara ahli politik dan puak yang bersaing selain sedang memerangi pemberontakan oleh al-Shabab, sekutu al-Qaeda.

Penggal Farmajo secara rasmi tamat pada Februari tetapi dilanjutkan kerana perselisihan faham tentang pemilihan presiden baharu.

Pilihan raya untuk parlimen telah dijalankan sejak November. Ia sepatutnya tamat pada 24 Disember tetapi tarikh akhir telah terlepas.

Kedua-dua pemimpin telah menuduh satu sama lain hingga menjejaskan pilihan raya.

Farmajo berkata, beliau menggantung jawatan perdana menteri sementara untuk menunggu hasil siasatan terhadap dakwaan rasuah itu.

Roble baru-baru ini dituduh terlibat, bersama pegawai lain, dalam penyelewengan dan kecurian tanah milik tentera di ibu negara, Mogadishu.

Namun dia menafikan dakwaan itu. – BBC