NEW YORK – Varian Omicron yang sangat mudah dijangkiti telah meningkatkan beban kes harian di beberapa bahagian di Amerika Syarikat (AS), melonjak ke tahap yang lebih tinggi daripada kemuncak pandemik semasa musim sejuk lalu.
Delaware, Hawaii, Massachusetts, New Jersey, New York dan Puerto Rico adalah antara kawasan yang telah melaporkan lebih banyak kes koronavirus pada minggu lalu berbanding mana-mana tempoh tujuh hari yang lain, menurut data.
Angka-angka itu menunjukkan mudahnya Omicron merebak ke seluruh negara, walaupun beberapa kajian dari luar negara mencadangkan bahawa varian itu menyebabkan gejala yang kurang teruk.
Pakar-pakar memberi amaran bahawa lonjakan jangkitan, digabungkan dengan fakta bahawa berpuluh-puluh juta rakyat Amerika masih tidak divaksinasi, masih boleh menimbulkan tekanan teruk pada sistem kesihatan AS dan membawa kepada lebih banyak kematian.
Pada hari Jumaat (24 Disember), sebelum gangguan cuti Krismas, purata tujuh hari nasional bagi kes harian baharu melepasi 197,000, peningkatan 65 peratus dalam tempoh 14 hari yang lalu.
Kematian juga meningkat sebanyak 3.0 peratus pada masa itu, kepada purata tujuh hari sebanyak 1,345, menurut pangkalan data New York Times.
Rekod kebangsaan bagi purata kes harian ialah 251,232, ditetapkan pada Januari semasa lonjakan selepas cuti.
Kemasukan hospital juga meningkat, walaupun tidak sebanyak kes.
Hampir 71,000 rakyat Amerika dimasukkan ke hospital dengan Covid-19, 8 peratus lebih tinggi daripada minggu sebelumnya tetapi masih jauh di bawah puncak sebelumnya.
Mulai 5 Disember lalu, terdapat peningkatan empat kali ganda kemasukan hospital Covid dalam kalangan kanak-kanak di New York City, yang mana varian baharu itu merebak dengan cepat, kata Jabatan Kesihatan Negeri New York.
Kira-kira separuh kanak-kanak di bawah umur 5 tahun dan tidak layak untuk vaksinasi. – NYTimes