Home Seni Hidup Sumber manusia Maybank cemerlang

Sumber manusia Maybank cemerlang

Nora Abd Manaf

KUALA LUMPUR – Maybank sekali lagi diiktiraf di peringkat domestik dan serantau untuk kecemerlangan dalam keupayaan sumber manusianya apabila dinobatkan sebagai Pemenang Utama Kecemerlangan oleh Human Resource Magazine.

Kemenangan itu sekali gus mengekalkan kedudukan Maybank nombor 1 di Anugerah 100 Majikan Siswazah Terkemuka (M100) Malaysia bersama GRADMalaysia dan merangkul gelaran Pemenang Keseluruhan Anugerah Pilihan Graduan Talentbank, pada acara berasingan yang dihadiri oleh pemimpin perniagaan terkemuka.

Ini adalah kali ketiga Maybank dinamakan sebagai Pemenang Utama Kecemerlangan, sejak anugerah itu dimulakan pada 2012.

Anugerah ini paling berprestij di rantau ini yang memberi penghormatan kepada organisasi untuk program pengurusan kakitangan mereka yang luar biasa dan strategi pengurusan sumber manusia yang mantap.

Ia juga mengiktiraf kecemerlangan sumber manusia merentas industri yang menyumbang kepada kejayaan keseluruhan fungsi sumber manusia semasa berdepan dengan pandemik Covid-19.

Bersaing dengan organisasi serantau yang terkenal seperti Shell Malaysia, OCBC dan Samsung Malaysia Electronics antara lain, Maybank turut meraih kemenangan dalam beberapa kategori lain iaitu Kecemerlangan dalam Kesejahteraan Korporat – EMAS; Kecemerlangan dalam Penjenamaan Majikan – EMAS; Kecemerlangan dalam Pembelajaran & Pembangunan – EMAS; Kecemerlangan dalam Mobiliti Tenaga Kerja (Baharu) – EMAS dan Majikan Terbaik – EMAS.

Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank, Datuk Nora Abd Manaf berkata, anugerah ini membuktikan komitmen kami dalam memberikan yang terbaik untuk pemegang kepentingan bank dan mencipta nilai yang saling berkaitan dengan misi untuk menginsankan perkhidmatan kewangan tidak kira apa pun cabaran yang mungkin dihadapi.

”Dalam dunia yang cepat berubah ini, adalah penting untuk kita memantau, membentuk semula dan menyelaraskan semula cara kita melakukan sesuatu untuk
kekal relevan.

”Kami telah melangkah jauh, secara berterusan mentakrifkan semula penglibatan dan inisiatif bakat kami, dan mengambil pendekatan yang lebih
holistik dan proaktif dalam membentuk kesediaan masa depan rakyat dan graduan negara, menggunakan teknologi dan sentiasa menolak sempadan untuk memacu kami dalam mencapai aspirasi M25 dan melakukan lebih banyak lagi pada masa hadapan,” ujarnya. – MalaysiaGazette