KUALA LUMPUR – Sabah FC mengesahkan tonggak pertahanannya, Park Tae Su akan bersama pasukan itu untuk musim keempat.
“Park Tae Su akan terus bersama Sabah FC untuk musim 2022. Pemain utiliti yang berasal dari Incheon ini telah menandatangani kontrak penyambungan bersama Sabah FC selama setahun,” menurut kenyataan kelab itu di Facebook miliknya.
Tae Su dari Korea Selatan yang dipanggil Karim dalam kalangan rakan pasukan pernah meraih perhatian netizen selepas tampil menggunakan bahasa Melayu sewaktu ditemu bual sebuah program televisyen.
Lebih menarik lagi, Tae Su yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia sejak 2019 ini mampu berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan bersama loghat Sabah dengan baik dan lancar.
Selain kemahiran berbahasa yang baik, Tae Su juga mencuri tumpuan apabila jaringan jarak jauhnya ketika menentang Petaling Jaya (PJ) City FC pada aksi peringkat kumpulan Piala Malaysia 2021 mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.
Malah peminat bola sepak tanah air juga memuji jaringan padu jarak kira-kira 35 meter itu yang disifatkan jarang berlaku.
Tidak cukup dengan itu, jaringan sepakan percuma jarak jauhnya juga berjaya mendapat perhatian akaun media sosial FIFA, badan induk bola sepak dunia. – MalaysiaGazette