KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir merekodkan penurunan di dua negeri manakala tiga negeri kekal jumlah sama setakat pagi ini dengan 13,039 orang masih berlindung di 104 pusat pemindahan sementara (PPS).
Di SELANGOR, menerusi aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan jumlah mangsa banjir menurun kepada 5,186 orang di 26 PPS setakat tengah malam tadi berbanding petang semalam iaitu 5,399 orang di 27 PPS.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor memaklumkan sehingga hari ini sebanyak 94 operasi pembersihan, 24 proses sanitasi dan 360 pemantauan dilakukan di kawasan banjir di negeri itu.
Sementara itu, Polis Selangor memaklumkan sebanyak tujuh jalan ditutup untuk laluan kenderaan ekoran dinaiki air melibatkan jalan di Jambatan FT 31 Dengkil – Banting; Jalan Kg Kalong Tengah; Ulu Yam Baru dan Jalan Genting Peras – Kuala Klawang.
Selain itu Jalan Kuala Kubu Bharu – Bukit Fraser menghala ke Peretak dibuka untuk kenderaan ringan sahaja manakala Jalan PJU 7, di hadapan MRT Mutiara Damansara dan Jalan BRP 7/2 Bukit Rahman Putra berlubang akibat banjir dan jambatan jalan menghala ke Lapang Sasar, Subang rosak akibat banjir.
Di PAHANG jumlah mangsa banjir pagi ini menurun sedikit berbanding malam tadi dengan 7,730 orang masih berada di 74 PPS di daerah Bentong, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan, menurut aplikasi Info Bencana Jabatan JKM.
Jabatan Meteorologi menjangkakan cuaca pagi ini hujan di satu dua kawasan di Kuantan dan Pekan, manakala cuaca di daerah lain diramalkan baik.
Di KELANTAN jumlah mangsa banjir kekal 54 orang daripada 15 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh di Pasir Mas, setakat 7 pagi ini.
Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya.
Di MELAKA jumlah mangsa banjir masih tidak berubah iaitu 26 orang daripada lapan keluarga setakat 8 pagi ini dan ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Penghulu Benteng di Jasin, menurut Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra.
Di NEGERI SEMBILAN Pengarah APM negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri ini kekal dengan 43 individu daripada 14 keluarga berada di dua PPS di Jelebu setakat pagi ini. – BERNAMA