JOHOR BAHRU – Suspek warga Rohingya atau Long Tiger yang meloloskan diri dari Mahkamah Majistret Tangkak dipercayai dalam perjalanan melarikan diri ke negara jiran sebelum diberkas di Kedah semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lelaki itu berjaya diberkas polis selepas 13 hari melarikan diri.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati Long Tiger mengenali pondan yang bersamanya melalui laman Facebook pada pada tahun 2020.
Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 33, difahamkan turut dibantu dua individu lain melarikan diri ke Kedah.
“Hasil siasatan yang dijalankan dijalankan, antara pukul 7.25 malam hingga 3 pagi tadi polis telah membuat dua lagi tangkapan di sekitar Batu Pahat melibatkan mereka yang dipercayai bersengkongkol,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurut Ayob, suspek berusia 36 dan 38 tahun dan salah seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah dadah.
“Turut dirampas sepasang gari, kedua-dua suspek itu dipercayai membantu suspek dengan memotong gari tangannya selain membeli kad sim sebelum melarikan diri ke utara.
“Kita percaya Long Tiger yang melarikan diri ke Kedah dalam perjalanan keluar dari negara ini, sama ada ke Thailand dan Indonesia,” katanya.
Semalam, Long Tiger yang berjaya ditahan selepas didapati menyembunyikan diri di rumah seorang pondan di Jalan Kuala Ketil, Kedah.
Ketika ditahan kira-kira pukul 3 petang, Long Tiger dikesan sekali lagi cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung namun tergelincir jatuh di lantai dapur rumah.
Selain itu, dua anggota polis turut digantung tugas bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan kerana disyaki terbabit secara langsung atas kesalahan kecuaian yang menyebabkan tahanan itu melarikan diri.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: