GEORGE TOWN – Penemuan sebuah kereta jenis Perodua Myvi menjadi petunjuk kepada insiden seorang lelaki bertindak terjun ke dalam laut di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai, hari ini.
Mangsa, Tan Swee Leong, 58, ditemui dalam keadaan tidak sedar diri oleh nelayan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM).
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian tersebut pada jam 11.46 pagi.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai dan Jalan Perak dikerahkan ke lokasi sebaik menerima panggilan.
“Hasil siasatan mendapati kehilangan mangsa disedari orang awam yang melalui kawasan tersebut apabila melihat kenderaannya di atas jambatan tersebut.
“Bagaimanapun, komander operasi menerima maklumat pada jam 12.11 tengah hari yang memaklumkan penemuan mayat mangsa oleh nelayan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 12.26 tengah hari. – MalaysiaGazette