Home Nasional Usahawan mikro, informal terkesan banjir diberi tawaran moratorium

Usahawan mikro, informal terkesan banjir diberi tawaran moratorium

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar. Foto MOHD ADZLAN, 14 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju memberikan moratorium kepada usahawan mikro dan informal yang mendapat pembiayaan agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) yang terkesan akibat bencana banjir.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, sebagai permulaan, moratorium akan diberikan kepada golongan usahawan yang melibatkan pembiayaan di bawah Tekun Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Menurut beliau, banjir yang melanda negara baru-baru ini telah mengakibatkan banyak perniagaan usahawan terkesan.

“Tekun Nasional memberi moratorium kepada peminjam yang terkesan dengan banjir selama enam bulan dan memperuntukkan sejumlah RM30 juta untuk pembiayaan usahawan mikro dan informal yang terkesan dengan banjir.

“Marotorium ini akan memberi manafaat kepada kira-kira 4,000 usahawan Tekun dan bermula serta-merta manakala AIM memberi moratorium secara automatik kepada Sahabat AIM bermula 20 Disember lalu sehingga 31 Januari 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Noh berkata, Sahabat AIM yang terkesan boleh membuat permohonan untuk menangguh bayar balik pinjaman sebanyak empat kali dengan maksimum tempoh penangguhan selama setahun dan membuat penjadualan balik pinjaman sehingga tiga tahun.

Katanya lagi, Sahabat AIM yang terlibat dengan banjir juga akan menerima bantuan Bantuan Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat (TKKS).

“Bantuan diberikan kepada rumah yang terlibat banjir sebanyak RM300.

“Bantuan juga diberikan untuk projek yang terlibat banjir sebanyak RM300 dan sekiranya terlibat dalam kedua-duanya, mereka layak menerima bantuan sebanyak RM600.

“Bantuan daripada AIM ini akan memberi manfaat kepada 9,200 orang Sahabat AIM. Ini adalah untuk membantu Keluarga Malaysia yg terjejas banjir,” ujarnya.

Dalam masa sama, Noh berharap bantuan-bantuan yang diberikan ini dapat menjadi permulaan untuk menstabilkan semula aturan perniagaan dan kehidupan. – MalaysiaGazette