TAMIL NADU, India – Polis menemui mayat seorang wanita separa reput yang disyaki disimpan anak lelakinya di rumah mereka.
Suspek lelaki berusia 38 tahun itu dipercayai menggali kubur ibunya sebelum mengeluarkan mayat itu dan membawa masuk ke rumahnya di Kampung Paravai di Perambalur.
Suspek, V. Balamurugan yang dipercayai mengalami masalah kesihatan mental pernah beberapa kali cuba menggali dan mengeluarkan mayat ibunya, namun dihalang penduduk tempatan.
Ibu suspek dikatakan meninggal dunia akibat sakit tua 10 bulan lalu manakala bapanya meninggal dunia 10 tahun lalu.
Menurut laporan, suspek yang masih bujang dan menganggur dijaga oleh ibunya.
Selepas ibunya meninggal dunia, suspek dilihat beberapa kali menziarah kubur ibunya yang terletak 500 meter dari rumahnya dan bercakap seorang diri.
Menurut polis tempatan, penduduk kampung pernah menghalang suspek menggali kubur ibunya.
Tindakan suspek yang menggali kubur dan menyimpan mayat ibunya di bilik tidur terbongkar apabila saudaranya yang menghantar makanan kepada beliau terhidu bau busuk.
“Semasa menghantar makanan, saudaranya mula mengesyaki sesuatu selain terhidu bau busuk mayat yang keluar dari salah satu bilik yang dikunci di rumah suspek sebelum melaporkan kepada polis.
“Polis bergegas ke rumah suspek sebelum menemui mayat separa reput ibunya dalam bilik.
“Suspek telah direman dan mayat reput ibunya dihantar ke hospital kerajaan Perambalur dan pengebumian dilaksanakan dengan kehadiran beberapa ahli keluarga,” kata jurucakap polis.
Katanya, polis sedang menyiasat insiden itu. – Indiatoday