Home Nasional Selangor waspada gelombang kedua banjir walaupun tidak berisiko

Selangor waspada gelombang kedua banjir walaupun tidak berisiko

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari

GOMBAK – Walaupun negeri Selangor tidak tersenarai dalam negeri-negeri berisiko tinggi untuk menerima gelombang kedua banjir, kerajaan negeri sentiasa bersiap sedia kearah itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Saari berkata, kerajaan negeri tetap membuat persiapan dengan meningkatkan keupayaan aset dan pasukan terlibat.

“Kita telah mesyuarat dengan pejabat tanah daerah untuk tingkatkan persediaan dan aset. Kita bersiap sedia walaupun kita bukan dalam senarai negeri yang dianggap cukup berisiko. Kebanyakannya adalah negeri di pantai timur, Mersing, Johor dan negeri-negeri Malaysia Timur.

“Kita juga harus bersiap sedia dan tak nak pisang berbuah dua kali,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas hadir pada program penyerahan sumbangan bantuan Selangor Bangkit di Balai Penghulu, Mukim Batu, Gombak, hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan lebat di beberapa negeri yang akan mengakibatkan wujudnya gelombang kedua banjir.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menubuhkan pasukan petugas khas yang bertanggungjawab menyelaras pengurusan pasca banjir serta persediaan menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir.

Pasukan itu akan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan dianggotai beberapa agensi yang terbabit dalam pengurusan bencana, antaranya Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM). – MalaysiaGazette