Home Nasional Pembunuhan Nhaveen: Individu kelima dituduh selepas empat tahun

Pembunuhan Nhaveen: Individu kelima dituduh selepas empat tahun

Gopinaath merupakan individu kelima yang dituduh di Mahkamah Majistret George Town hari ini susulan membunuh Nhaveen empat tahun lalu.

GEORGE TOWN – Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dakwaan membunuh T. Nhaveen, 18, empat tahun lalu.

Tertuduh, S. Gopinaath, 30, mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret R. Manomani.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes berkenaan di bawah kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh merupakan abang kepada S. Gokulan, 21, iaitu salah seorang lelaki yang didakwa dalam kes sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama empat lagi lelaki yang telah dituduh menyebabkan kematian Nhaveen pada 9 Jun 2017 antara jam 11 hingga 12 tengah malam di Taman Kejiranan Bunga Raya, Jalan Bunga Raya, Gelugor di sini.

Gopinaath didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 54 Kanun Keseksaan.

Mahkamah menetapkan esok sebagai tarikan sebutan semula kes dan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul Anwar dan Yazid Mustaqim Roslan.

Tiada jaminan diberikan dan pihak pendakwaan memohon untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi esok pada jam 10 pagi susulan perbicaraannya sedang berjalan.

Pendakwaan baharu ini menjadikan lima tertuduh didakwa terlibat dalam insiden pembunuhan Nhaveen.

ARTIKEL BERKAITAN

4 remaja serang Nhaveen hadapi pertuduhan membunuh

Media sebelum ini melaporkan, Nhaveen diganggu serta diserang oleh beberapa remaja, termasuk bekas rakan sekolahnya ketika dalam perjalanan pulang bersama rakannya T. Previin pada malam 9 Jun 2017.

Nhaveen diculik, manakala Previn melarikan diri dan pergi ke rumah Nhaveen untuk mendapatkan bantuan. 

Nhaveen kemudian ditemui dengan kecederaan serius pada keesokan harinya. Setelah dihantar ke hospital untuk rawatan kecemasan, dia dilaporkan meninggal dunia pada 15 Jun 2017.

Empat suspek didakwa melakukan pembunuhan, dua tertuduh berusia bawah umur pada masa kejadian. 

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memulakan perbicaraan pada 5 Mei tahun ini. – MalaysiaGazette